Meskipun tangkapan demi tangkapan senantiasa dilakukan, ianya masih tidak mampu menghalang warga asing untuk cuba menyeludup masuk dadah ke negara ini.

Terbaru, lima warganegara asing termasuk seorang wanita ditahan oleh polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sepanjang tempoh dua minggu yang lalu kerana cuba menyeludup dadah ke negara ini.

Dalam tempoh dari 26 Disember tahun lalu hingga semalam (7 Januari), tiga cubaan seludup dadah melalui lapangan terbang berjaya dipatahkan apabila polis memberkas empat lelaki warganegara India dan seorang wanita Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata tangkapan ‘keldai dadah’ membawa kepada rampasan dadah jenis syabu seberat 33.37kg bernilai hampir RM5 juta.

Dalam insiden semalam, polis menjumpai 14 kotak berlabel jenama makanan diletakkan dalam sebuah bagasi milik seorang lelaki warganegara India dan pemeriksaan selanjutnya berjaya menemui 32 bungkusan disyaki dadah jenis syabu seberat 24.9kg yang disimpan dalam kotak tersebut.

“Lelaki tersebut baharu sahaja tiba dengan penerbangan dari Chennai, India dan dia didapati cuba untuk mengelak dari pemeriksaan pihak berkuasa di KLIA. Curiga dengan apa yang dibawa oleh lelaki itu, polis kemudiannya menahan lelaki tersebut dan menemui bungkusan dadah tersebut,” kata Noor Rashid.

Beliau menambah, sebelum itu, terdapat dua lagi kejadian yang sama berlaku pada 26 dan 30 Disember tahun lalu dimana, empat ‘keldai dadah’ iaitu tiga lelaki warga India dan seorang wanita dari negara Thai ditangkap kerana didapati cuba membawa dadah masuk ke negara ini.

“Dalam kejadian 26 Disember itu, tiga lelaki warganegara India yang baharu sahaja tiba dari Colombo, Sri Lanka ditahan setelah polis menemui 13 bungkusan dadah syabu seberat 8.4kg yang disembunyikan dalam bagasi mereka. Malah, mereka turut melilitkan bungkusan dadah itu disekitar pinggang dan betis mereka,” kata beliau lagi.

Sementara pada 30 Disember pula, seorang wanita dari Thailand yang baru tiba dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu ditangkap berikutan penemuan dadah jenis kokain seberat 1.8kg dalam tiga botol plastik minyak rambut dan pewangi badan yang disimpan dalam bagasinya.

Suspek berumur 25 hingga 41 tahun kimi direman untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori.