50,000 wanita hamil tiada akses air bersih di Gaza - PBB

Agensi
Oktober 12, 2023 06:15 MYT
Gambar yang dirakamkan pada Khamis menunjukkan, dua orang wanita bersama seorang anak kecil bergegas meninggalkan kediaman mereka di Gaza susulan serangan udara oleh tentera Israel. - Gambar AP
GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah berulang kali menekankan kepentingan memberi perhatian kepada situasi kemanusiaan yang semakin genting di Gaza.
Tabung Kependudukan PBB (UNFPA) iaitu agensi kesihatan seksual dan reproduksi PBB berkata, ketika ini, terdapat 50,000 wanita hamil di Gaza yang tidak dapat mengakses perkhidmatan kesihatan penting atau air bersih.
Dalam masa sama, seramai 5,500 wanita di antara mereka dijangka bersalin dalam beberapa bulan akan datang.
Sehubungan itu, UNFPA menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesejahteraan wanita dan gadis di Palestin selain serta trauma dan tekanan psikologi yang perlu dihadapi golongan itu.
Seorang pegawai UNFPA di Gaza berkata, matlamat mangsa peperangan khususnya kaum wanita yang hamil pada masa ini hanyalah untuk bernafas bagi meneruskan kehidupan.
Agensi antarabangsa itu juga memaklumkan, mereka sedang menyediakan bekalan untuk sedia dihantar ke lokasi peperangan pada bila-bila semasa sekiranya sekatan dibuka semula.
UNFPA turut menggesa pihak-pihak berkaitan lain agar mematuhi kewajipan yang digariskan di bawah undang-undang antarabangsa. - Agensi
#Perang Palestin-Israel #tiada air bersih di Gaza #wanita hamil #UNFPA
;