Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

50 peratus jemaah tolak tawaran haji - Mohd Na’im

Sinar Harian 20/11/2025 | 10:00 MYT
Mohd Na’im berkata, kebanyakan penolakan itu berpunca daripada kekangan kewangan yang dihadapi para jemaah. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 peratus jemaah haji yang mendapat tawaran menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun ini dilaporkan menolak tawaran tersebut.


Ringkasan AI
  • 50% jemaah haji menolak tawaran haji pada tahun ini disebabkan oleh kekangan kewangan yang dihadapi.
  • 53% dari 9.7 juta pendeposit Tabung Haji mempunyai simpanan kurang dari RM1,300, menyebabkan mereka tidak layak menunaikan haji.
  • Tabung Haji perlu melaksanakan projek penjenamaan semula bagi menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi tujuan haji.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, kebanyakan penolakan itu berpunca daripada kekangan kewangan yang dihadapi para jemaah.

Beliau turut mendedahkan bahawa 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit Tabung Haji (TH) memiliki simpanan kurang daripada RM1,300.

Ujarnya, pendeposit yang mempunyai baki simpanan di bawah jumlah tersebut belum layak untuk menunaikan haji kerana ia tidak mencukupi bagi menampung keperluan ibadah berkenaan.

“Peranan TH sebagai institusi penabungan telah mula terkesan. Kini, TH kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten apabila perlu bersaing dengan produk simpanan atau pelaburan lain yang lebih menarik seperti unit amanah, emas, simpanan pendidikan dan skim persaraan swasta,” katanya dalam jawapan bertulis dalam laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Mohd Na’im menjawab soalan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berhubung kos keseluruhan projek penjenamaan semula TH dan jumlah akhir peruntukan kewangan bagi inisiatif tersebut.

Menurut beliau, mengambil kira kesemua faktor dan berdasarkan data kajian yang telah dilaksanakan, TH perlu mengambil langkah strategik dengan melaksanakan projek penjenamaan semula.

“Ia bagi memastikan TH kekal relevan khususnya dalam usaha untuk menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi menunaikan haji.

“Seperti yang telah dimaklum dan diperjelaskan oleh TH melalui kenyataan media bertarikh 16 Ogos lalu, TH telah mengesahkan peruntukan bagi perkhidmatan syarikat konsortium perunding bagi inisiatif peremajaan jenama ini adalah berjumlah RM5.9 juta atau kira-kira RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun,” ujarnya.

Setakat ini, TH telah membelanjakan RM1.9 juta selaras dengan kemajuan kerja semasa mengikut jadual yang dipersetujui.

“TH masih memperhalusi keperluan kerja-kerja lanjutan untuk inisiatif peremajaan jenama dan ia belum dimuktamadkan.

“Hanya kos perunding yang telah dimuktamadkan dan tiada sebarang kontrak tambahan dimeterai setakat ini. Peruntukan ini juga menggunakan bajet tahunan sedia ada bagi aktiviti pemasaran dan komunikasi TH,” kata beliau. -- Sinar Harian






#jemaah tolak #tawaran haji #Mohd Na im Mokhtar #Tabung Haji #Dewan Rakyat