KUALA LUMPUR: Seramai 500 orang bakat kemahiran generasi muda berkelulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3 dari 56 Institusi Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang ditauliahkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bersedia untuk dihantar ke China seawal bulan Mac depan, menerusi lapan bidang kemahiran utama.

Perkembangan itu susulan pertemuan Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) dengan 56 institusi tersebut pada Selasa, bagi mencapai persefahaman dan permuafakatan untuk menyokong hasrat Kerajaan menubuhkan Malaysia-China Institute (MCI).

Bidang-bidang tersebut ialah kenderaan elektrik (EV), teknologi solar, digital & ICT, e-dagang, elektrik dan elektronik, teknologi rel, perkhidmatan berkaitan pengeluaran (MRS) dan pemesinan dan perkakasan.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Manndzri Nasib, Pengerusi RISDA merangkap Ahli Parlimen Tenggara yang diamanahkan mengetuai pasukan Koordinator MCI.

Ketika ini sebanyak 17 Institusi TVET di China telah menyatakan sokongan kepada penubuhan MCI, seterusnya bersedia menerima penghantaran bakat kemahiran generasi muda menerusi kemudahan berteknologi tinggi bagi tempoh jangka masa antara satu hingga tiga bulan.