506 ditahan, 489 dikompaun ingkar arahan PKPP

Fauzi Suhaimi
November 5, 2020 09:41 MYT
Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, seramai 498 individu telah dikompaun, enam individu direman manakala dua dijamin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 506 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan Pertahanan , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 498 individu telah dikompaun, enam individu direman manakala dua dijamin.
"Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk premis gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (145), tidak memakai pelitup muka (124), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (96), aktiviti pusat hiburan (72), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (17) dan lain-lain (52).
"Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan sertamengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang ditetapkan," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng (Op Benteng) turut berjaya menahan 41 pendatang asing tanpa izin (PATI), dua orang tekong, dua orang penyeludup serta berjaya merampas lima buah kenderaan darat.
"Daripada jumlah itu, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menahan 23 PATI di kawasan Hutan Desaru Coast, Johor.
"Sebanyak 279 sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng juga dilakukan diseluruh negara yang melibatkan 147 SJR PDRM, 121 SJR ATM dan 9 SJR oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM)," katanya.
#perintah kawalan pergerakan #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKPP #ismail sabri yaakob #Angkatan Tentera Malaysia #PDRM #SOP #COVID-19