509 ditahan ingkar SOP - Ismail Sabri

Madiha Abdullah
Februari 22, 2021 10:02 MYT
Penahanan adalah hasil 64,442 pemeriksaan yang dibuat Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seramai 509 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 466 dikompaun, 39 direman dengan empat daripadanya dijamin.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia adalah hasil 64,442 pemeriksaan yang dibuat Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.
"Antara kesalahan yang direkodkan ialah rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (120), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (111), tiada penjarakan fizikal (95), aktiviti perjudian (54), tidak memakai pelitup muka (49), aktiviti pusat hiburan (37), keluar rumah tanpa alasan munasabah (11), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (8) dan lain-lain (24)," katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Dalam pada itu, seramai 10,288 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, sembilan didapati positif.
Secara kumulatif, seramai 437,211 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19.
Daripada jumlah ini, seramai 7,852 orang telah disahkan positif.
#COVID-19 #ujian saringan #ismail sabri yaakob #operasi #SOP #Polis Diraja Malaysia