Seramai 54 daripada 63 pelajar yang memohon biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diluluskan permohonan mereka semalam, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Borhan Dolah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 13 pelajar ditawarkan biasiswa bagi pengajian di luar negara dan 41 di universiti dalam negara.

Beliau berkata 13 pelajar tersebut akan diberi tajaan sebanyak 80 peratus manakala 41 orang yang mengikuti pengajian dalam negara mendapat tajaan penuh.

"Perkara ini diputuskan selepas kami membentangkan laporan penuh berkenaan petisyen oleh 63 pelajar tersebut kepada Kabinet semalam.

"Sebenarnya ini amalan yang dilakukan JPA pada tahun-tahun terdahulu sebelum kerajaan pada 2016 menetapkan biasiswa hanya disediakan untuk pengajian dalam negara," katanya ketika diminta mengulas keputusan permohonan pelajar terbabit selepas isu itu dibawa ke Kabinet.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau Program MyBest Buy FAMA @JPA4U di Dataran Kompleks C di sini hari ini, Borhan berkata maklumat berhubung keputusan itu akan dimuat naik ke laman sesawang JPA hari ini.

Beliau berkata bagi tajaan ke luar negara, JPA hanya memberi pertimbangan bagi pengajian di universiti yang berada di ranking 10 terbaik dunia oleh QS World University Rankings, antaranya Universiti Harvard dan Universiti Oxford.

Dalam perkembangan lain, Borhan berkata 300 pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berstatus tetap atau penjawat awam akan diserap ke dalam kementerian, jabatan bersesuaian selepas jabatan itu dibubarkan.

Beliau berkata bagi perjawatan lain, pihaknya perlu menunggu perakuan jemaah menteri sebelum memutuskan sebarang tindakan yang perlu dilakukan terhadap penyandang jawatan tersebut.

Sebuah portal hari ini melaporkan kenyataan Panel Pemikir JASA Tun Faisal Ismail Aziz bahawa kerajaan akan menutup jabatan itu pada 15 Okt depan, sekaligus menyebabkan 800 kakitangannya kehilangan pekerjaan.

Berhubung isu pegawai menteri lantikan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang didakwa tidak menerima gaji atas faktor tertentu seperti dokumen lantikan tidak lengkap, Borhan berkata isu itu telah selesai.

Beliau berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah mengeluarkan kelulusan menyeluruh pada bulan lepas kepada semua kementerian yang membenarkan lantikan pegawai berkenaan diproses dan diterima.

Susulan itu, JPA mengarahkan semua kementerian untuk melaksanakan pembayaran gaji pegawai terbabit dengan urusan berkaitan penyediaan dokumen lengkap dibuat dalam kadar segera kemudian, katanya.

Berhubung MyBest Buy FAMA, Borhan berkata program yang dilaksanakan sejak 2013 itu ternyata memberi banyak manfaat kepada penjawat awam bagi membeli kelengkapan harian pada harga jualan lebih rendah daripada harga pasaran.

Beliau berkata program yang beroperasi di 143 lokasi meliputi kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara itu telah membantu seramai 1,500 usahawan tani memasarkan produk masing-masing secara langsung kepada pembeli.

Sejak beroperasi pada 2013, MyBest Buy FAMA telah mencatat nilai jualan sebanyak RM42 juta, katanya.

-- BERNAMA