Sebanyak 55 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam hari ini sebulat suara menolak penuh Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (NUCC) kerana menganggapnya 'tidak membantu ke arah perpaduan'.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali mendakwa perbincangan pertama NUCC yang diadakan pada 22 Februari lalu lebih berbentuk hasutan yang rata-ratanya telah mengguris hati orang Melayu Islam.

"Dia orang punya perbincangan pertama, semuanya bercakap tidak membantu ke arah perpaduan. Semua ucapan dan kenyataan yang kita dapat rakamkan menyentuh perkara-perkara pokok seperti perlembagaan dan sensitivity agama.


"Tuduh orang macam-macam... dan tidak dikawal oleh moderator yang menjalankan dialog," katanya dalam satu sidang media selepas mesyuarat penubuhan Barisan Perpaduan Nasional.

Selain itu Ibrahim turut mendakwa bahawa beliau tidak yakin dengan keahlian NUCC itu sendiri yang terdiri daripada 30 ahli di mana hanya 12 dari mereka terdiri dari kaum Melayu.
"Anggota NUCC terdiri daripada 30 orang... yang mewakili Melayu hanya 12 orang. kemudian daripada 12 tu ada seorang dua dari NGO dan dari jenis Melayu liberal dan mengikut cara pluralism," katanya.


Terdahulu, 55 NGO tersebut setelah bermesyuarat bersetuju menubuhkan Barisan Perpaduan Nasional yang bertujuan untuk membela kepentingan, keharmonian, kesejahteraan rakyat serta keamanan negara.

Gabungan 55 NGO itu menyifatkan bahawa perpaduan mampu dicapai apabila kuasa dominan iaitu orang-orang Melayu mempunyai kuasa yang baik.

Antara badan-badan NGO besar yang turut serta dalam gabungan itu termasuk PERKASA, Muafakat, JATI, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), PEMBELA dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).