MALAYSIA
55 peratus pengundi percaya PM, kestabilan negara jadi penentu - Merdeka Centre
Anwar Ibrahim mula menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2022. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima penilaian positif sebanyak 55 peratus, memasuki pertengahan penggal daripada jumlah lima tahun Kerajaan MADANI memegang pentadbiran negara.
Ringkasan AI
- Penilaian terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah 55 peratus, dipacu oleh kestabilan politik, majoriti dua pertiga di Parlimen, serta usaha reformasi institusi dan peranan aktif Malaysia di peringkat antarabangsa.
- Penilaian positif terhadap Kerajaan Persekutuan turut meningkat kepada 50 peratus, manakala ketidakpuasan hati terhadap isu kos sara hidup menurun kepada 48 peratus berbanding 58 peratus tahun lalu.
- Langkah kerajaan seperti kenaikan gaji minimum, bantuan tunai, dan subsidi bahan api membantu meredakan tekanan rakyat, disokong oleh data ekonomi seperti inflasi rendah 1.4% dan pertumbuhan suku pertama 4.4%.
Tinjauan pusat kajian bebas, Merdeka Centre mendapati, faktor kepada pandangan positif ini antaranya rakyat Malaysia mula merasakan negara kini berada di landasan lebih stabil serta ketidaktentuan politik sudah reda.
"Selain itu, Anwar kini mengetuai sebuah kerajaan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen.
"Seterusnya reformasi institusi seperti pembentukan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dilihat memberi isyarat kepada pentadbiran lebih berprinsip," ujar Merdeka Centre dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Selain itu, peranan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 serta lawatan Presiden China, Xi Jinping turut meningkatkan imej Anwar dalam negara.
Kata kenyataan itu, maka tidak hairan penilaian kerajaan Persekutuan turut meningkat kepada 50 peratus berbanding 40 peratus, tahun lalu.
Pada waktu sama, isu-isu harian seperti kos sara hidup menyumbang kepada 48 peratus pengundi kurang berpuas hati dengan pentadbiran Kerajaan MADANI, trend penurunan berbanding 58 peratus tahun lalu.
"Persepsi negatif ini dipengaruhi kebimbangan berterusan kos sara hidup dan ketidaktentuan pemotongan subsidi dalam masa terdekat. Selain keraguan tentang prestasi ekonomi negara dan pencapaian pentadbiran semasa," ujar Merdeka Centre.
Namun data kerajaan menunjukkan inflasi menurun kepada 1.4 peratus pada Mac 2025, paras terendah dalam tiga tahun, manakala pertumbuhan ekonomi bagi suku pertama mencecah 4.4 peratus.
"Langkah kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700, digabungkan bantuan tunai perayaan untuk penjawat awam, serta subsidi bahan api berterusan membantu meredakan kekecewaan rakyat terhadap kos sara hidup," tambah Merdeka Centre.
Tinjauan Merdeka Centere dijalankan antara 12 hingga 23 Mei 2025 melibatkan 1,208 pengundi berdaftar, terdiri daripada 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, tujuh peratus India, enam peratus Bumiputera Muslim, dan enam peratus Bumiputera bukan Islam.
Mereka ditemu bual menerusi panggilan telefon melalui talian tetap dan mudah alih.