JEMPOL: Polis menahan 57 pengedar dan penagih dadah dalam Op Tapis Khas yang dijalankan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di beberapa kawasan Felda di sini pada 23 hingga 25 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata operasi dijalankan melibatkan Felda Palong, Felda Lui Selatan dan Felda Pasoh berikutan tanah rancangan itu dikesan menjadi tumpuan pengedaran serta penagihan dadah.

"Kesemua suspek termasuk empat wanita berumur 21 hingga 58 tahun itu terdiri daripada sembilan tokan dan 40 penagih serta lapan orang dikehendaki polis," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Polis turut merampas pelbagai jenis dadah iaitu heroin, syabu, codeine dan air ketum dengan jumlah anggaran keseluruhan rampasan dadah bernilai RM11,466.50.

Beliau berkata siasatan dilakukan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985, Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 12(3), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA