KUALA LUMPUR: Polis menahan 58 individu disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan pelaburan Forex dalam talian menerusi serbuan di tiga premis pusat bangunan perniagaan di Bangsar, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata mereka terdiri daripada 24 lelaki dan 32 wanita tempatan, serta masing-masing seorang lelaki dan wanita warga asing berumur antara 20 hingga 59 tahun.

Beliau berkata dalam serbuan itu polis turut merampas 50 komputer riba, empat telefon bimbit pelbagai jenama, sembilan set komputer meja, satu modem Wi-Fi dan dua gegantung pengiklanan pelaburan yang digunakan bagi kegiatan tersebut.

"Hasil pemeriksaan mendapati adanya unsur penipuan pelaburan Forex secara dalam talian dan sindiket ini menggunakan platform media sosial bagi mempromosi serta menawarkan pelaburan dengan menyasarkan mangsa dari pelbagai negara antaranya Malaysia, Vietnam, China, Filipina, Singapura dan Eropah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata kesemua suspek direman hingga Isnin ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420/511/120B Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Amihizam berkata polis menahan dua lelaki tempatan berumur lingkungan 42 hingga 61 tahun kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di Taman Sri Petaling, semalam.

Beliau berkata hasil serbuan di kawasan tempat letak kereta Jalan Pasai 6 itu, polis merampas 20,000 pil Erimin 5 dianggar seberat 5.2 kilogram bernilai RM221,000 di dalam beg kanvas berwarna coklat.

"Seorang daripada lelaki itu positif terhadap dadah jenis amphetamine, ketamin dan benzo. Kedua-duanya direman hingga Rabu depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurut Amihizam polis sedang menjalankan risikan serta siasatan bagi mengenal pasti ahli sindiket terlibat dan sumber bekalan dadah diperoleh.

-- BERNAMA