MELAKA: Sebanyak 58 premis makanan kotor di negeri ini diarah tutup kerana gagal mencapai standard kebersihan ditetapkan sepanjang tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata tindakan diambil di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan arahan penutupan premis adalah selama 14 hari bagi kerja-kerja pembersihan premis terlibat.

"Jabatan Kesihatan Melaka telah memeriksa sebanyak 5,081 premis makanan di seluruh Melaka sepanjang tahun lepas, dan 58 daripada premis terlibat diarahkan tutup.

"Dalam tempoh sama juga, sebanyak 1,664 notis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan nilai kompaun RM211,650 dikeluarkan," katanya dalam kenyataan di sini hari.

Beliau berkata selain itu, sebanyak 5,057 jenis barangan menyalahi Akta Makanan 1983 seperti pembungkus rosak, pecah, kemek atau berkarat, tamat tarikh tuput, berkulat dan rosak juga disita melibatkan nilai RM157,461.14.

Katanya sebanyak 53 kompaun bernilai RM157,000 dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Dalam pada itu, Rusdi berkata Jabatan Kesihatan Melaka akan terus meningkatkan pemantauan ke atas semua premis jualan makanan di sekitar Melaka bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Beliau berkata peniaga makanan termasuk restoran, kedai makan, gerai, pasar raya, kedai runcit dan pasar mini dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan premis serta memastikan makanan dijual tidak tamat tarikh luput serta mematuhi keperluan pelabelan makanan.

"Jabatan Kesihatan negeri sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna dan sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau membuat aduan melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my," katanya.

-- BERNAMA