MALAYSIA

58,428 pelajar tingkatan empat dikesan pembawa talasemia sejak 2016

Bernama 01/11/2025 | 07:01 MYT
Dr Dzulkefly kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Kali ke-2 Untuk Penghidap Talasemia dan Penjaga 2025 di sini hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Sebanyak 58,428 pelajar tingkatan empat yang disaring sejak 2016 dikesan sebagai pembawa talasemia, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.


Ringkasan AI
  • Sejak 2016, daripada 1.8 juta pelajar tingkatan empat yang disaring, 58,428 dikesan sebagai pembawa talasemia.
  • KKM menyasarkan pengurangan kelahiran baharu talasemia sekurang-kurangnya 50% dalam 10 tahun melalui saringan praperkahwinan dan pranatal, serta integrasi digital data kesihatan.
  • Pembangunan Papan Pemuka Risiko Talasemia Kebangsaan dan pendaftaran MyThalassaemia akan memetakan daerah berisiko tinggi serta menyokong penyelidikan klinikal dan kebajikan penjaga pesakit.


Beliau berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada 1.8 juta pelajar yang telah mendapat persetujuan ibu bapa atau penjaga untuk menjalani saringan berkenaan.

"Saringan talasemia dilaksanakan sejak 2016 melalui outreach di sekolah dan menumpukan kepada golongan remaja 16 tahun setelah Kementerian Pendidikan memberikan izin kepada Jawatankuasa Induk 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan)," katanya.

Dzulkefly berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Kali ke-2 Untuk Penghidap Talasemia dan Penjaga 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan program saringan terhadap pelajar tingkatan empat itu juga menyaksikan kadar kelahiran baharu dengan talasemia iaitu penyakit genetik berkaitan sel darah merah menurun dengan konsisten.

Beliau berkata langkah melakukan saringan membawa hasil kesihatan yang baik kerana meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengetahui status mereka dan seterusnya dapat mengelak daripada berkahwin dengan pasangan membawa genetik talasemia.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk mengurangkan kelahiran baharu membawa talasemia sekurang-kurangnya kepada 50 peratus dalam tempoh sedekad menerusi peluasan program saringan praperkahwinan dan pranatal.

"KKM sedang meningkatkan integrasi digital data saringan dalam sistem kesihatan negara untuk meningkatkan ketepatan dan kecekapan tindakan susulan, selain membangunkan Papan Pemuka Risiko Talasemia Kebangsaan untuk memetakan daerah berisiko tinggi dan sebagai panduan kepada program kesedaran bersasar," katanya.

Beliau berkata menerusi pendaftaran MyThalassaemia. KKM sedang membina gambaran nasional beban dan hasil penyakit itu, yang juga akan berfungsi sebagai asas kepada penyelidikan klinikal dan inisiatif perubatan pada masa depan.

"Kami juga sedang meneroka kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Sumber Manusia untuk menambah baik akses kebajikan dan pilihan kerja fleksibel kepada penjaga (pesakit) jangka panjang," katanya.

Sementara itu, Dzulkefly menyarankan individu mengalami gejala influenza segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital kerana tiada dasar membenarkan penggunaan kit ujian kendiri bagi penyakit itu.

"Jangan beli kit ujian kerana ia tidak perlu. Kita tidak mengambil polisi ujian kendiri," katanya.

Beliau juga memberi jaminan KKM akan meneliti dakwaan terdapat penjualan kit ujian influenza yang tidak sah.

-- BERNAMA





#pelajar tingkatan empat #pembawa talasemia #Dzulkefly Ahmad #Kementerian Pendidikan