Skip to main content

Malaysia

59 tahun SPRM: Lima teras jadi pasak utama banteras rasuah

Abd. Halim berkata, perubahan landskap jenayah rasuah menuntut institusi itu terus melakukan transformasi dan menyesuaikan pendekatan agar kekal relevan. - Foto SPRM
Abd. Halim berkata, perubahan landskap jenayah rasuah menuntut institusi itu terus melakukan transformasi dan menyesuaikan pendekatan agar kekal relevan. - Foto SPRM

Advertisement

PUTRAJAYA: Sempena ulang tahun ke-59 penubuhannya, hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkasa usaha membanteras rasuah menerusi lima teras utama, seiring perubahan landskap jenayah rasuah yang semakin kompleks.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, hampir enam dekad perjalanan institusi itu menyaksikan pelbagai cabaran, perubahan dan evolusi dalam usaha membanteras rasuah, selain memperkukuh integriti serta tatakelola.

Menurut Abd. Halim, perubahan landskap jenayah rasuah menuntut SPRM untuk terus berkembang, melakukan transformasi dan menyesuaikan pendekatan agar kekal relevan dalam menghadapi cabaran baharu.

“Pelbagai cabaran, perubahan dan juga inovasi dalam cara kita memerangi jenayah rasuah serta memperkukuhkan lagi integriti serta tatakelola.

“Dalam tempoh tersebut, landskap jenayah rasuah telah berubah dengan ketara daripada mudah kepada susah dan juga kepada lebih kompleks.

“Justeru, SPRM perlulah terus berkembang, melakukan transformasi dan juga menyesuaikan pendekatan agar sentiasa relevan dalam menghadapi cabaran terbaharu,” katanya pada sesi wawancara bersama media sempena Ulang Tahun ke-59 SPRM, di Ibu Pejabat SPRM, di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu jelasnya, lima teras kepimpinan digariskan sebagai pasak utama hala tuju pentadbiran SPRM iaitu integriti tanpa kompromi, penguatkuasaan yang adil dan saksama, pencegahan yang proaktif, penerapan teknologi dan ketelusan serta kepercayaan rakyat.

Bagi teras pertama, integriti tanpa kompromi menjadi asas dalam memastikan setiap tindakan, keputusan dan tanggungjawab warga SPRM dilaksanakan tanpa mengira pangkat, kedudukan atau latar belakang.

Pada masa sama, prinsip integriti perlu bermula dalam institusi itu sendiri dengan warga SPRM dituntut menjadi contoh kepada prinsip antirasuah dan menjadikannya sebagai budaya, bukan sekadar peraturan.

Teras kedua pula menekankan penguatkuasaan yang adil dan saksama dengan setiap tindakan berasaskan undang-undang, bukti dan prinsip keadilan tanpa gentar atau pilih kasih.

Atas prinsip itu, SPRM kini menggantung pemakaian baju lokap berwarna oren terhadap Orang Kena Siasat (OKS) bagi proses reman di mahkamah, antara lain bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap individu yang masih berada pada peringkat siasatan dan belum diputuskan bersalah oleh mahkamah.

Sementara itu, teras ketiga memberi penekanan kepada pencegahan yang proaktif dengan mengenal pasti kelemahan sistem dan prosedur lebih awal, menutup ruang yang boleh membuka peluang kepada rasuah serta memperkukuh mekanisme pencegahan.

Pendekatan itu turut melibatkan peranan Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM yang berfungsi meneliti amalan, sistem dan tatacara badan awam, selain memberi nasihat mengenai langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan kemungkinan berlakunya rasuah, di bawah Seksyen 7(c), (d) dan (e) Akta SPRM 2009.

Dalam aspek penguatkuasaan pula, SPRM bergerak ke arah pendekatan lebih proaktif menerusi Intelligence Based Investigation (IBI) atau Siasatan Berasaskan Risikan dengan tidak hanya menunggu laporan untuk mengenal pasti dan membongkar kegiatan rasuah.

Bagi 2026 sehingga 31 Ogos, SPRM merekodkan 5,239 maklumat, 842 kertas siasatan, 803 tangkapan, 345 pertuduhan dan 97 sabitan, berbanding masing-masing 4,446 maklumat, 807 kertas siasatan, 906 tangkapan, 281 pertuduhan dan 141 sabitan pada 2025.

Daripada keseluruhan 803 tangkapan pada 2026 itu, 352 kes melibatkan kesalahan menerima rasuah, 278 tuntutan palsu, 78 memberi rasuah, 62 salah guna jawatan atau kedudukan, 12 pengubahan wang haram dan 21 kesalahan lain.

Berdasarkan kumpulan perjawatan pula, 311 tangkapan melibatkan penjawat awam, termasuk 13 daripada kumpulan pengurusan tertinggi, 102 kumpulan pengurusan dan profesional serta 196 kumpulan pelaksana. Sementara itu, 492 tangkapan melibatkan sektor swasta, 347 orang awam dan 117 kategori lain.

Image
[INSERT]_SPRM 59_SPRM
SPRM menggariskan 5 teras utama sempena Ulang Tahun ke-59 sebagai penguat kepimpinan suruhanjaya itu dalam terus memerangi jenayah rasuah. - Foto SPRM

Teras keempat memberi fokus kepada penerapan teknologi dan ketelusan, termasuk penggunaan pendigitalan, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi.

Teknologi berkenaan membantu pegawai memproses sejumlah besar maklumat dengan lebih pantas, termasuk mengenal pasti anomali, menelusuri aliran kewangan serta mengesan hubungan yang mungkin sukar dikenal pasti menerusi kaedah konvensional.

Namun, Abd. Halim menegaskan, teknologi hanya berperanan sebagai alat, manakala kepakaran pegawai untuk menilai, mengesahkan dan mentafsir maklumat secara profesional kekal penting bagi memastikan setiap tindakan berlandaskan undang-undang.

Dalam aspek lucuthak, kompaun dan penyelesaian pula, SPRM merekodkan jumlah keseluruhan RM1.741 bilion pada 2025, merangkumi RM182.28 juta lucuthak, RM56.85 juta kompaun dan RM1.502 bilion menerusi penyelesaian. Bagi 2024, jumlah keseluruhan direkodkan sebanyak RM789.48 juta, manakala sehingga 31 Julai 2026, jumlahnya RM55.31 juta.

Bagi teras kelima, kepercayaan rakyat dilihat sebagai elemen penting yang perlu dipelihara secara berterusan melalui tindakan, prestasi, integriti dan konsistensi.

“Kepercayaan rakyat. Kekuatan sesuatu institusi itu bukan hanya diukur melalui jumlah kes yang disiasat atau tindakan yang diambil, tetapi turut bergantung kepada sejauh mana institusi itu mampu mengekalkan integriti, profesionalisme dan keyakinan rakyat terhadap SPRM.

“SPRM akan terus memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat mengenai usaha penguatkuasaan, pencegahan dan juga pendidikan antirasuah,” jelasnya.

Beliau berkata, peranan media sebagai rakan strategik turut penting dalam membentuk kefahaman masyarakat mengenai isu rasuah, integriti dan tatakelola menerusi penyampaian maklumat yang tepat, berimbang, beretika dan bertanggungjawab.

Menurutnya, lima teras berkenaan bukan sekadar retorik, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan dan tugasan harian seluruh warga SPRM.

SPRM kini menuju detik ulang tahun ke-60 yang akan disambut tahun depan menerusi sambutan Jubli Intan, sekali gus menandakan satu lagi fasa dalam perjalanan institusi itu untuk terus memerangi rasuah.

Must Watch Video

Advertisement