PONTIAN: Polis berjaya menahan enam lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang lelaki berusia 22 tahun di hadapan sebuah kedai makan dan minuman di Pekan Nanas, di sini, dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, semua suspek berusia antara 18 dan 22 tahun ditahan dalam operasi khas dijalankan bermula jam 8 malam pada 21 Mei hingga 4 pagi, 22 Mei (semalam).
Menurutnya, operasi melibatkan Task Force Jenayah Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian dengan bantuan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor.
“Serbuan dijalankan di sekitar Taman Desa Botani, Batu Pahat dan Pangsapuri Awam Lima Kedai, Gelang Patah.
“Hasil semakan mendapati kesemua tangkapan mempunyai pelbagai rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan semasa kejadian termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara, sebuah Toyota Estima, sebilah parang, pelitup muka hitam, telefon bimbit serta pelbagai jenis pakaian.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM120,000,” katanya.
Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis benzo manakala lima lagi negatif.
“Siasatan awal mendapati semua suspek mengaku terlibat dalam serangan terhadap mangsa sehingga menyebabkan kematian.
“Bagaimanapun motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan suspek lain yang masih bebas sedang dijalankan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Sinar Harian