[TERKINI] SPRM Tahan Bekas Ketua Setiausaha Politik Kanan PM – Ikuti Perkembangan di Sini!
MALAYSIA

600 anggota APM Pulau Pinang siap siaga hadapi cuaca tidak menentu

Bernama 28/11/2025 | 12:30 MYT
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, Kol (PA) Lokman Hakim Abdul Rahman (depan, keenam dari kanan), melancarkan Misi Bantuan Kemanusiaan Skuad Ihsan MADANI. - Foto BERNAMA
BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 600 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang berada dalam kesiapsiagaan penuh untuk digerakkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan cuaca tidak menentu ketika ini.

Pengarah APM negeri Kol (PA) Lokman Hakim Abdul Rahman berkata kesemua mereka bersiap sedia 24 jam dengan tumpuan diberikan di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU) yang sering menerima kesan langsung limpahan air.

"Selain daripada hujan, limpahan air datang daripada negeri jiran Kedah berikutan air sungai melalui kedua-dua daerah tersebut sebelum keluar ke laut," katanya kepada pemberita selepas melepaskan Misi Bantuan Kemanusiaan Skuad Ihsan MADANI di pekarangan Masjid Tengah Jalan Berapit, di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya orang ramai diminta tidak terlalu bimbang kerana semua agensi kerajaan, swasta dan pihak berkaitan sentiasa bersedia membantu penduduk yang terjejas.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meminta orang ramai berwaspada dan membuat persediaan menghadapi episod hujan lebat khususnya ketika negara memasuki fasa Monsun Timur Laut (MTL).

-- BERNAMA


#banjir #APM Pulau Pinang #cuaca tidak menentu #Seberang Perai