Hanya 600 dari 4,200 majikan dibenarkan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum yang akan berkuatkuasa mulai 1 Jan 2013, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata kebenaran itu diberikan selepas mengambil kira kedudukan kewangan syarikat-syarikat tersebut, manakala syarikat lain tetap tertakluk kepada peraturan tersebut.

"Syarikat-syarikat ini memaklumkan bahawa telah mengalami kerugian untuk tempoh dua hingga tiga tahun dan mereka juga telah menyerahkan laporan audit dan kewangan kepada Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan.

"Jadi, majlis bersetuju memberi penangguhan antara tiga hingga enam bulan kepada syarikat terbabit agar syarikat terbabit dapat menstruktur dan mengukuhkan semula kedudukan kewangan.

Ia keputusan majlis dan bukannya keputusan kementerian," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan ke-4.

Pengumuman gaji minimum bagi sektor swasta dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 April dan diwartakan pada 16 Julai lepas.

Perintah gaji minimum 2012 berkuat kuasa pada 1 Jan 2013 dan kadarnya akan dikaji semula setiap dua tahun.

Keputusan untuk menguatkuasakan pelaksanaan gaji minimum itu adalah mandatori dan kerajaan menetapkan gaji minimum pekerja swasta ialah RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Mengenai kos pengambilan pembantu rumah Indonesia yang masih tidak dapat diputuskan lagi oleh kedua-dua negara, Dr Subramaniam berkata Malaysia sekali lagi telah meminta kerajaan Indonesia untuk mengemukakan suatu kadar yang munasabah.

"Dalam mesyuarat bersama pasukan petugas di Bandung baru-baru ini (minggu lepas), agensi-agensi dari kedua-dua belah pihak (Malaysia-Indonesia) membentangkan representasi dan angka kepada kami. Bagi kami ia agak tinggi iaitu RM11,000 -RM12,000.

"Kami telah memaklumkannya kepada pihak kerajaan Indonesia dalam mesyuarat dua hala dua hari lepas dan kami minta mereka kemukakan semula kadar yang lebih munasabah," katanya.