Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

6,000 pelajar dijangkiti influenza, sekolah diarah ikut garis panduan KKM - KP Pendidikan

Bernama 13/10/2025 | 11:00 MYT
Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad bercakap berkaitan kes salah laku seksual di sebuah sekolah di Melaka pada sidang media khas di Kementerian Pendidikan hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kira-kira 6,000 pelajar sekolah di seluruh negara direkodkan dijangkiti penyakit influenza setakat ini dan beberapa sekolah terpaksa ditutup atas nasihat pejabat kesihatan daerah masing-masing.


Ringkasan AI
  • Kira-kira 6,000 pelajar dijangkiti influenza dan beberapa sekolah ditutup sementara atas nasihat KKM bagi kawalan kesihatan.
  • Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad berkata sekolah diarahkan ikut garis panduan KKM termasuk guna pelitup muka dan kurangkan aktiviti berkumpulan.
  • KPM bersedia hadapi kemungkinan gangguan menjelang SPM 3 Nov, susulan 97 kluster influenza direkodkan minggu lalu, majoriti di sekolah.


Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad berkata penutupan sekolah dilakukan mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), bagi memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga sekolah.

Beliau berkata pihak sekolah juga telah diarah untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan, bagi membendung penularan jangkitan influenza dalam kalangan murid.

"Sebenarnya kita ada pengalaman yang panjang dengan COVID-19 dan garis panduan dalam berhadapan penyakit berwabak ini.

"Kita sudah minta sekolah kita berpandukan garis panduan tersebut, supaya kita galakkan warga sekolah menggunakan pelitup muka dan pada masa yang sama mengurangkan aktiviti yang melibatkan murid-murid itu berinteraksi secara beramai-ramai," katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Mohd Azam turut memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang akan bermula pada 3 Nov ini.

"Kita sudah minta pegawai di Lembaga Peperiksaan untuk bersedia dengan cabaran-cabaran ini, sebab SPM akan bermula," katanya.

Khamis lepas, KKM memaklumkan 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding 14 kluster minggu sebelumnya, dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.

Menurut KKM, semua negeri mencatatkan peningkatan, dengan lima negeri tertinggi ialah Selangor (43 kluster), Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9), dan Kedah (5), dengan kebanyakan kes menunjukkan simptom ringan.

-- BERNAMA




#Influenza #pelajar sekolah #Pejabat Kesihatan Daerah #Kementerian Kesihatan KKM