[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

600,000 ahli aktif, 10 hala tuju strategik baharu pastikan pengakap kekal relevan

Bernama 13/09/2025 | 13:45 MYT
Anwar (tengah) melakukan gimik pendaftaran Kad Scoutfy pada Majlis Temu Anwar Pengakap sempena PAPJ Kali Ke-27 Peringkat Antarabangsa di Pantai Tanjung Leman hari ini. - Gambar Bernama
MERSING: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) kini mempunyai lebih 600,000 ahli aktif, menjadikannya antara organisasi belia terbesar di rantau Asia Pasifik, kata Ketua Pengakap Negara Mejar Jeneral Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin.

Beliau berkata nilai-nilai utama pengakap terus membentuk generasi yang menjadi kebanggaan negara serta penggerak masa depan.

"Nilai Pengakap seperti taat setia, integriti, disiplin, keberanian dan kepimpinan, telah membentuk generasi cemerlang yang menjadi kebanggaan bangsa serta penggerak masa depan negara," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pengakap Johor ke-27 (PAPJ27) di Pantai Tanjung Leman di sini, hari ini.

Perhimpunan itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul.

Beliau berkata bagi memastikan pengakap kekal relevan dalam berdepan cabaran semasa, PPM telah merangka 10 hala tuju strategik yang diperkaya dengan strategi baharu berimpak tinggi.

Menurutnya, antara hala tuju berkenaan ialah melaksanakan program menarik dan mencabar termasuk kepengakapan digital, teknologi hijau, keselamatan siber, aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta keusahawanan sosial.

"PPM juga akan memantapkan sistem latihan abad ke-21 untuk melahirkan belia yang berdaya saing dalam dunia digital dan globalisasi," katanya.

Selain itu, Mohd Zin berkata PPM juga akan mengukuhkan kerjasama global dengan membuka lebih banyak ruang penyertaan di jambori antarabangsa, pertukaran pelajar dan projek kemanusiaan serantau.

Beliau berkata pengakap juga akan membina jaringan komuniti dan korporat dengan menjalin kerjasama strategik bersama syarikat teknologi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan bagi memperkaya pengalaman belia.

"PPM mahu menjadi peneraju belia MADANI dengan memupuk generasi yang bukan sahaja berdisiplin, tetapi juga berinovasi, kreatif dan relevan dengan cabaran semasa.

"Pada masa sama, hala tuju baharu itu akan melonjakkan PPM ke tahap lebih tinggi dan setanding organisasi belia antarabangsa," katanya.

PAPJ27 yang berlangsung bermula hari ini hingga 17 Sept menghimpunkan lebih 4,000 ahli pengakap serta 500 wakil agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) dari dalam dan luar negara antaranya termasuk dari Indonesia, Brunei, Taiwan, Hong Kong dan Singapura.

Forum Temu Anwar - Pengakap merupakan satu daripada acara utama selain lebih 44 aktiviti merangkumi ilmu kepengakapan, elemen STEM, pengembaraan lasak, kebudayaan serta program kelestarian alam.

-- BERNAMA



#Dewan Rakyat #keselamatan siber #STEM #Pengakap