Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

61 pelajar Malaysia terkandas di Jakarta dijadual pulang malam ini - Duta

Bernama 26/10/2025 | 09:45 MYT
Kumpulan pelajar sekolah itu terkandas lebih tiga jam di lapangan terbang pada Khamis akibat masalah pengurusan ejen pelancongan. - Gambar/ FB Soekarno Hatta International Airport Jakarta
JAKARTA: Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata seramai 61 pelajar Malaysia yang sebelum ini terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dijadual pulang ke tanah air pada 7.55 malam ini waktu tempatan.


Ringkasan AI
  • Seramai 61 pelajar Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dijadual pulang ke tanah air pada jam 7.55 malam ini waktu tempatan dengan bantuan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
  • Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin merakamkan penghargaan kepada ejen pelancongan tempatan yang membantu pelajar sepanjang empat hari program lawatan, dan berharap isu bayaran serta urusan berkaitan dapat diselesaikan dengan baik.
  • Pelajar dari SK Taman Selasih dan SMK Bukit Kapar terkandas lebih tiga jam pada Khamis akibat masalah pengurusan ejen pelancongan yang dilantik penganjur bagi urusan pengangkutan dan penginapan.


Beliau berkata Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah membantu menjaga kepentingan para pelajar yang terkandas dengan kerjasama ejen pelancongan tempatan.

"Kita berharap perkara sebegini dapat dielakkan pada masa hadapan," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Syed Mohamad Hasrin turut merakamkan penghargaan kepada ejen pelancongan yang bersetuju membantu para pelajar sepanjang empat hari program lawatan di sini.

Beliau berharap urusan antara ejen berkenaan, yang juga rakyat Malaysia dan penganjur program, termasuk aspek bayaran dan perkara lain yang berkaitan dapat diselesaikan dengan baik.

Kumpulan pelajar sekolah dari Selangor itu terkandas lebih tiga jam di lapangan terbang pada Khamis akibat masalah pengurusan ejen pelancongan yang dilantik penganjur bagi menguruskan pengangkutan dan penginapan mereka.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang waktu tempatan itu, pelajar dari Sekolah Kebangsaan Taman Selasih dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kapar tiba di Jakarta menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

#pelajar malaysia terkandas #Jakarta #lawatan sambil belajar #agensi pelancongan