[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

628 kes bankrap penjawat awam di Selangor dalam tempoh lima tahun

Bernama 18/09/2025 | 20:30 MYT
Sebanyak 628 kes kebankrapan membabitkan penjawat awam di Selangor direkodkan bagi tempoh 2020 hingga setakat ini. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Sebanyak 628 kes kebankrapan membabitkan penjawat awam di Selangor direkodkan bagi tempoh 2020 hingga setakat ini.

Pengarah Insolvensi Selangor Pavani Kasi berkata faktor utama kebankrapan disebabkan pinjaman peribadi diikuti pinjaman perumahan dan pinjaman sewa beli kenderaan.

Bagaimanapun, beliau berkata statistik kebankrapan di Selangor menunjukkan trend menurun khususnya pada 2025 hasil kesedaran literasi kewangan semakin baik dalam kalangan penjawat awam.

"Ini mungkin disebabkan kesedaran diberikan dari masa ke masa menjadikan penjawat awam lebih sedar dalam menguruskan kewangan. Kita nampak trend penurunan dan mahu lebih banyak sehingga angka satu digit atau kosong kebankrapan," katanya.

Pavani berkata demikian kepada pemberita pada Program Literasi Kewangan Penjawat Awam Selangor di sini hari ini, yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Berhubung kebankrapan akibat hutang kad kredit, Pavani berkata ia menurun dalam kalangan penjawat awam Selangor.

"Tetapi kesedaran tentang kebankrapan akibat pinjaman peribadi kena dipertingkatkan lagi, antaranya mungkin pihak institusi kewangan boleh lihat semula cara-cara atau syarat memohon yang boleh diperketatkan sedikit," katanya.

Sebelum ini, statistik Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan 4,194 kes kebankrapan membabitkan penjawat awam direkodkan antara 2020 hingga Jun 2025 iaitu sekitar 0.3 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam negara ini.

-- BERNAMA




#kes bankrap #penjawat awam #Selangor #Pavani Kasi