MELAKA: Sebanyak 63 bas henti-henti Panorama Melaka dijangka beroperasi pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Melaka (TMM 2024) sekali gus meningkatkan kualiti dan akses rakyat pada pengangkutan awam di negeri itu.

Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn Bhd Rohazam Bakar berkata setakat ini pihaknya hanya memiliki 24 bas dengan 17 laluan di sekitar negeri itu dan tujuh lagi laluan baharu dijangka menyediakan perkhidmatan bas henti-henti.

"Kita bercadang menambah operasi bas Panorama Melaka pada tahun hadapan dan sedang menunggu tender bagi Program Transformasi Bas Henti-Henti (SPST) yang akan dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

"Dengan pertambahan bas henti-henti ini, kita jangkakan kekerapan perkhidmatan di sesuatu kawasan dan ketepatan masa dapat ditambah baik agar rakyat memilih menaiki bas untuk bergerak khususnya dalam kawasan bandar raya Melaka," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata penambahan bas Panorama Melaka itu juga sebagai membantu mengurangkan kesesakan trafik di kawasan tumpuan pelancong khususnya di Banda Hilir.

Katanya selain menambah jumlah bas, pihaknya juga ke arah menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai menggunakan kad debit atau kad NFC bagi pembayaran tiket bagi memudahkan pengguna dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Dalam pada itu, Rohazam berkata aplikasi ETA GPS Journey Planner Cashless juga telah dilancarkan bagi memberi akses maklumat berkaitan jadual perkhidmatan bas, hentian bas dan laluan di sekitar negeri itu kepada pengguna.

"Menerusi aplikasi berkenaan, pengguna boleh merancang jadual perjalanan yang lebih baik kerana mereka boleh mendapatkan kemas kini masa bagi laluan setiap bas yang disediakan," katanya.

Selain itu, menurutnya perkhidmatan bas pengantara yang dikenali sebagai Kumpool Kasturi turut disediakan di bandar raya Melaka dalam radius tujuh kilometer bagi memudahkan pergerakan orang ramai termasuk pelancong terutama ketika penutupan beberapa laluan sempena Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir pada setiap Sabtu.

Katanya bas pengantara berbayar yang boleh memuatkan 16 penumpang pada satu-satu masa itu akan beroperasi setiap hari dan menggunakan kaedah atas permintaan.

-- BERNAMA