Seramai 64 penjenayah di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) ditahan di Pulau Pinang untuk tempoh hampir 10 bulan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, daripada jumlah itu, tujuh merupakan pemilik pusat judi manakala 45 lagi merupakan ahli kumpulan samseng.

Katanya, semua suspek lelaki berusia di antara 20 sehingga 50 tahun itu ditahan menerusi Ops Cantas Khas dan Operasi Khas.

"Kita dah tangkap 64 orang dibawah POCA, antaranya ialah tauke judi, manakala yang terlibat dalam gangsterisme 45 orang dan semuanya lelaki

“Kita memang masih lagi buka kertas siasatan di bawah POCA ini dan ia adalah tindakan yang berterusan kerana Ops Cantas bukan hanya melibatkan masa-masa tertentu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Kejohanan Menembak Piala Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga sedang memburu lebih 30 lagi penjenayah di negeri itu yang akan ditahan di bawah POCA.

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Ghafar menjelaskan, kes jenayah di negeri itu menunjukkan penurunan sebanyak 398 kes atau 5.4 peratus sepanjang Januari sehingga Ahad berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, sebanyak 5,142 kes dilaporkan dalam tempoh itu pada tahun ini berbanding 5,540 kes bagi tempoh sama pada 2015.