[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

6,409 syarikat daftar SKPS - Armizan

Bernama 29/09/2025 | 12:15 MYT
Armizan bertemu wakil-wakil industri minyak ketika melawat pameran pada Hari Bertemu Pelanggan persiapan pelaksanaan SKPS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini. - Gambar Bernama
KOTA KINABALU: Sebanyak 6,409 syarikat pengangkutan awam dan barangan melibatkan 14,527 kenderaan telah mendaftar untuk mendapatkan subsidi petrol RON95 menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) sehingga semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata daripada jumlah itu, 357 syarikat dengan 601 kenderaan didaftarkan di Sabah manakala di Sarawak, 146 syarikat dengan 356 kenderaan telah mendaftar.

"Sejak pendaftaran itu dibuka pada 15 Sept lepas sambutan daripada syarikat-syarikat amat menggalakkan namun kita tahu masih ramai lagi belum mendaftar dan kita berharap syarikat yang belum mendaftar segera berbuat demikian bagi mendapatkan manfaat daripada program berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Hari Bertemu Pelanggan SKPS RON95 Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di sini hari ini.

Armizan berkata bagi syarikat yang belum mendaftar dan memiliki kad fleet subsidi petrol RON95 boleh mengemukakan permohonan tuntutan bayaran balik tunai selepas program berkenaan dilaksanakan sepenuhnya esok.

Beliau berkata kelayakan permohonan tuntutan bayaran balik tunai tertakluk kepada beberapa syarat, antaranya syarikat perlu mengemukakan rekod telah mendaftar di bawah SKPS dan telah memohon kad fleet sebelum atau pada 31 Okt 2025.

Menurutnya pembayaran balik tunai itu untuk tempoh pembelian petrol 30 Sept hingga 31 Okt, atau sehingga tarikh kad fleet diterima syarikat, yang mana lebih awal.

"Permohonan bayaran balik tunai boleh dibuat melalui platform sama iaitu SKPS. Semua tuntutan wajib disertakan dengan bukti resit pembelian petrol RON95 yang dimuat naik ke dalam sistem SKPS," katanya.

Beliau berkata penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi SKPS dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) merupakan strategi berkesan dalam menangani ketirisan subsidi bahan api yang berlarutan sekian lama

"Melalui SKPS dan BUDI95, keseluruhan transaksi penjualan dan pembelian dari peringkat syarikat minyak, stesen minyak, syarikat dan individu pengguna akan direkodkan secara digital," katanya.

Beliau berkata penggunaan kad fleet dalam SKPS untuk syarikat dan MyKad (BUDI95) untuk individu akan direkodkan dalam sistem yang membolehkan elemen pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara cepat dan berkesan.

Armizan berkata ia juga termasuk pemantauan dan penguatkuasaan terhadap transaksi meragukan seperti pembelian berulang dan pembelian dalam jumlah tidak wajar.

Katanya sistem itu akan menyelesaikan isu manipulasi penjualan dan pembelian di seluruh rantaian termasuk stesen minyak sebagaimana modus operandi aktiviti penyeludupan dan penyelewengan.

Beliau berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan selaku pemilik sistem untuk mengesan transaksi meragukan.

"Sehubungan itu, saya memperingatkan semua pihak akan tanggungjawab masing-masing terhadap semua penggunaan kad fleet, MyKad dan kaedah pembelian lain yang dibenarkan dalam memanfaatkan subsidi petrol RON95," katanya sambil menambah tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melakukan manipulasi, penyelewengan atau penyeludupan.

-- BERNAMA


#BUDI95 #RON95 #kos sara hidup #skps