Seramai 65 individu atas kesalahan ditahan pada Selasa kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, dua ditahan reman, manakala 63 lagi dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP yang dilakukan ialah tidak memakai pelitup muka (35), tidak menjaga penjarakan fizikal (7) dan masuk kawasan PKPD tanpa alasan munasabah (3)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu katanya, pihak berkuasa berjaya menahan 32 pendatang asing tanpa izin (PATI), satu tekong dan empat penyeludup menerusi Op Benteng.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki
sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," tegasnya.

Dalam pada itu kata ismail, setakat 22 September, seramai 8,240 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara, manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Seramai 24,652 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang. Mereka telah pulang dari 33 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE.

"Mereka juga pulang dari Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat," jelasnya.

Sementara itu katanya, sebanyak 17 operasi sanitasi meliputi dua zon merah, tujuh zon kuning dan tujuh zon hijau yang melibatkan lima buah negeri antaranya Sabah (7 operasi), Kedah (6 operasi), Pulau Pinang (2 operasi), Pahang (1 operasi), dan Melaka (1 operasi).

Operasi sanitasi itu melibatkan 29 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 267 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).