67 peratus rakyat Malaysia setuju untuk terima vaksin COVID-19
Asyraf Roslan
Disember 31, 2020 09:58 MYT
Disember 31, 2020 09:58 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 67 peratus daripada 212,006 responden rakyat Malaysia yang menyertai tinjauan membabitkan penerimaan atau penolakan vaksin COVID-19 bersetuju menerima vaksin berkenaan.
Keputusan tinjauan dalam talian tersebut yang dijalankan dari 21 hingga 28 Disember lalu, dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di laman Twitter rasminya hari ini.
Hasil tinjauan itu juga menunjukkan, daripada 67 peratus yang bersetuju, 95.7 peratus berasa vaksin tersebut selamat untuk digunakan, malah yakin ia mampu mencegah jangkitan.
Sebanyak 16 peratus pula didapati tidak bersetuju untuk menerima vaksin kerana takut dengan kesan sampingan selain meragui bahan yang terdapat dalam vaksin tersebut.
Sebanyak 17 peratus lagi didapati tidak pasti sama ada mahu menerima vaksin atau tidak, kerana bimbang dengan kesan sampingan apabila mereka mengambil vaksin tersebut kelak.
#COVID-19
#vaksin
#Noor Hisham Abdullah
#kesihatan
#rakyat Malaysia
#Malaysia
#MyVaksinCOVID19
#Twitter
#tinjauan
#terima atau tolak