KUALA LUMPUR:Seramai 672 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 19 Dis 2020.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada 672 individu yang ditahan, 643 telah dikompaun manakala 29 lagi direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah 442 individu dikesan terlibat aktiviti pusat hiburan, 90 individu lain melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka.

"Manakala 78 individu  gagal memathui arahan penjarakan fizikal, 37 yang lain gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan manakala baki 25 lagi atas kesalahan lain-lain," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Beliau juga menjelaskan Operasi Benteng pada 19 Dis telah berjaya menahan 83 Pendatang Tanpa Izin (Pati) dan seorang tekong serta merampas 3 kenderaan darat.

Menerusi Ops Benteng juga sebanyak 118 Sekatan Jalan Raya (SJR) telah dilakukan.

Beliau juga menjelaskan sebanyak 2,368 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 10,582 anggota telah membuat pemantauan di 3,482 pasar raya, 4,814 restoran serta 1,572 penjaja, 1,238 kilang, 3,124 bank dan 699 pejabat kerajaan.

Ismail Sabri turut memaklumkan sehingga 19 Dis, sebanyak 14,007 jumlah pemeriksaan telah
dilakukan oleh anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang melibatkan 8,000 tapak binaan di seluruh negara.

"Semalam (19 Dis), anggota penguatkuasa telah membuat pemeriksaan di 7 tapak binaan di seluruh Malaysia dan kesemua 7 tapak binaan mematuhi SOP yang telah ditetapkan," katanya lagi.