PUTRAJAYA:Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masuk hari ke-221 dan hari ke-137 PKP Pemulihan.

Berikut merupakan lima perkara penting yang dinyatakan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan medianya hari ini: 

1. PDRM menahan 688 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu,  678 individu telah dikompaun manakala 10 lagi direman. 

2.  Operasi Benteng berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 10 pendatang asing tanpa izin. Turut berjaya dirampas 5 kenderaan darat.

3. Sejak 24 Julai sehingga 24 Oktober 2020, seramai 54,312 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 65 Hotel dan 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

4. Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 10,751 operasi sanitasi merangkumi 136 zon. 

5. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di 36 tapak binaan di seluruh Malaysia. Hasil pemeriksaan mendapati 13 tapak binaan yang beroperasi telah mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 23 tapak binaan tidak beroperasi.