Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

6,881 kes tuntutan pengguna termasuk pakej umrah berjaya diselesaikan - Armizan

Umavathi Ramayah 22/11/2025 | 06:40 MYT
Armizan (tiga,kanan) merasmikan Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Tengah 2025 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Sebanyak 6,881 kes tuntutan pengguna termasuk yang membabitkan pakej umrah, berjaya diselesaikan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dari 1 Januari hingga 14 November lalu.


Ringkasan AI
  • Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) selesai kan 6,881 kes tuntutan pengguna termasuk pakej umrah, daripada 9,203 aduan yang diterima dengan nilai keseluruhan RM77.2 juta.
  • Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan aduan merangkumi pelbagai kategori pembelian barangan dan perkhidmatan termasuk kenderaan, barangan elektrik, dan peranti.
  • Armizan yakin aplikasi EZ-TTPM akan mempercepatkan penyelesaian kes serta membantu memperkuatkan ekosistem perdagangan yang lebih sihat dan bebas daripada salah urus, terutamanya dalam melindungi hak pengguna.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah itu adalah daripada 9,203 aduan yang diterima sepanjang tempoh berkenaan, melibatkan nilai tuntutan keseluruhan sebanyak RM77.2 juta.

Menurut beliau, aduan yang dikemukakan meliputi pelbagai kategori pembelian barangan dan perkhidmatan.

"Aduan melibatkan pembelian kenderaan, pakej umrah, barangan elektrik, gajet, peranti dan sebagainya.

"Jadi, ia bukan sekadar isu barangan tetapi juga perkhidmatan yang ditawarkan oleh peniaga," katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi EZ-TTPM sempena Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2025 di sini, pada Sabtu.

Armizan menjelaskan, penyelesaian kes bergantung kepada kelengkapan dokumen sokongan yang dikemukakan pengguna.

"Sebaik sahaja kita terima aduan lengkap, proses pendengaran akan dijalankan. Kita sasarkan setiap kes dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan.

"Malah ada yang boleh selesai selepas sesi pendengaran pertama sekiranya bukti sangat jelas," ujarnya.

Armizan yakin usaha transformasi digital melalui EZ-TTPM akan memperkemas proses tuntutan serta membantu mewujudkan ekosistem perdagangan yang lebih sihat, terbuka dan bebas daripada salah urus, khususnya melibatkan hak pengguna.




#kos sara hidup #kpdn #Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysi #pakej umrah