Skip to main content

Malaysia

69 ditahan, hampir 500,000 fail bahan eksploitasi kanak-kanak dikesan

KUALA LUMPUR 30 APRIL 2026. Ketua Polis Negara , Datuk Seri Mohd Khalid Ismail pada sidang media berikutan  Operation Cyber Guardian 2026 bagi menangani jenayah eksploitasi seksual kanak kanak atas talian di Dewan Theatrette, Bukit Aman. Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Antara barang-barang yang dirampas termasuk 124 peranti digital seperti telefon bimbit, komputer riba dan storan digital menerusi Operasi Cyber Guardian 2026. - Astro AWANI/Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 69 individu dalam usaha mengekang jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian yang semakin serius dan merentas sempadan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, menerusi Operasi Cyber Guardian 2026, ia melibatkan kerjasama tujuh negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.

Advertisement

Menurutnya, operasi tersebut memfokuskan kepada pembanterasan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian (OCSE) yang kini semakin kompleks.

“Di Malaysia, operasi dilaksanakan pada 6 hingga 8 April melibatkan 101 sasaran di seluruh negara. Hasilnya, seramai 69 individu ditahan termasuk dua rakan sejenayah yang turut berada di lokasi semasa pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Operation Cyber Guardian 2026 Di Bukit Aman pada Khamis.

Tambahnya, sebanyak 126 barang kes dirampas termasuk 124 peranti digital seperti telefon bimbit, komputer riba dan storan digital.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati sebanyak 498,690 fail digital dikenal pasti melibatkan 204,934 fail CSAM dan 293,760 fail pornografi dewasa,” katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhan di peringkat serantau, seramai 445 individu dikenal pasti terlibat dalam aktiviti berkaitan melalui operasi berkenaan.

PDRM turut membuka 67 kertas siasatan di bawah pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Daripada jumlah itu, 62 kertas siasatan telah dituduh di mahkamah melibatkan 81 pertuduhan, manakala sebahagian lagi masih dalam siasatan,” katanya.

Siasatan juga mendedahkan modus operandi sindiket yang menggunakan platform digital termasuk aplikasi komunikasi tertutup bagi mengedar bahan terlarang, malah ada yang menawarkan akses berbayar melalui transaksi e-dompet.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid menegaskan jenayah berkenaan tidak lagi bersifat individu, sebaliknya semakin tersusun dan bermotifkan keuntungan.

“PDRM tidak akan berkompromi dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah ini,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat meningkatkan kesedaran digital serta memantau penggunaan peranti dalam kalangan kanak-kanak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada ancaman siber.

Must Watch Video