7 bengkel kedai besi musnah terbakar di Taiping

Aida Aziz
September 3, 2022 21:30 MYT
Operasi memadam kebakaran bengkel kedai di Jalan Besar, Kampung Boyan, Taiping, malam tadi, diketuai PKPgB Rafeel Hairul Richard dan tamat selepas ia berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 9.39 malam. - Foto JBPM Perak
TAIPING: Tujuh buah bengkel kedai besi sederet musnah dalam kejadian kebakaran di Jalan Besar, Kampung Boyan, di sini malam tadi.
Insiden kebakaran yang berlaku sekitar jam 7 malam itu menyebabkan tiga buah bengkel musnah 90 peratus.
Manakala kedai keempat dan kelima masing-masing musnah 30 peratus, sementara selebihnya musnah 20 peratus dan lima peratus.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.18 malam pada Sabtu.
Setelah itu, katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping bergegas ke lokasi dengan dibantu BBP Kamunting serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bagan Serai dan PBS Kuala Sepetang.
"Kebakaran membabitkan tujuh buah bengkel kedai kelas B, berkeluasan 20 x 80 setiap satu. Tiada mangsa yang terlibat.
"Anggota bomba yang terbabit menggunakan tiga aliran hose 200 kaki empat pancutan dan dua hose reel dari sumber pili air.
"Kebakaran bengkel itu berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi yang diketuai PKPgB Rafeel Hairul Richard itu tamat pada jam 9.39 malam," katanya lagi.
#kebakaran #Taiping #bengkel kedai besi #bomba perak