KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan memaklumkan tujuh pusat peperiksaan bakal terjejas jika banjir gelombang keempat berlaku di negeri ini.

Ia akan melibatkan seramai 601 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di dua buah daerah iaitu Pasir Mas dan Tumpat.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata, enam buah sekolah di Pasir Mas yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Maahad Muhamadi Rantau Panjang, SMU Arab Diniah Bongor, SMU Arab Al-Falah Siram, SMK Meranti dan SMU Arab Tarbiah Diniah Meranti.

"Di Tumpat hanya melibatkan sebuah sekolah iaitu SMU Arab Nurul Huda Kajang Sebidang.

"Sekiranya ada gelombang keempat, kesemua calon peperiksaan akan digerakkan ke pusat alternatif," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurut beliau, tanggungjawab pihak sekolah adalah untuk memastikan pelajar terlibat melaporkan kepada sekolah jika terkesan dengan banjir.

Ujarnya, JPN Kelantan telah membuat persiapan awal dalam menghadapi banjir dengan pemantauan secara berkala kepada semua sekolah yang terjejas.

Mohd Zamri memberitahu, kerjasama dengan pihak-pihak yang terlibat dalam menguruskan banjir juga telah diadakan seperti pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, Mohd Zamri berkata, JPN Kelantan merekodkan kerugian sebanyak RM328,700 sepanjang tiga gelombang banjir melanda negeri ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu sekolah yang terjejas melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Krai, Pasir Mas dan Tumpat.

"Anggaran sebenar kita akan perolehi dalam masa terdekat selepas semua sekolah yang terlibat selesai membuat pelaporan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurut beliau, semua murid yang terlibat dengan banjir dibenarkan berpakaian biasa untuk hadir ke sekolah.

"Paling penting murid dapat hadir ke sekolah dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan sempurna.

"Kita memahami kerana mungkin ada murid yang terjejas pakaiannya akibat ditengelami banjir di rumah mereka," katanya.

Mohd Zamri memberitahu, JPN akan berusaha untuk mendapakkan bentuk bantuan yang sesuai bagi meringankan beban mereka yang memerlukan. - Sinar Harian