NATIONAL
7 realiti baharu ekonomi dunia yang Malaysia tidak boleh abaikan - Pakar

Krisis global, kepimpinan berwibawa, dan peralihan kuasa ekonomi sedang mencorak lanskap baharu yang tiada dalam dekad lalu - Gambar hiasan/ AP
DUNIA kini berada di persimpangan baharu.
Menurut Presiden Akademi Profesor Malaysia, Profesor Emeritus Jamal Othman, krisis global, kepimpinan berwibawa, dan peralihan kuasa ekonomi sedang mencorak lanskap baharu yang tiada dalam dekad lalu.
Beliau yang juga Profesor Emeritus Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, dalam menghadapi realiti ini, berikut adalah tujuh perkara penting yang perlu difahami:
1. Kepimpinan bijak bukan lagi pilihan — Ia keperluanCiri-ciri yang diperlukan pemimpin untuk bukan sahaja faham data, tetapi mampu membaca masa depan.
"Kepimpinan yang bijak, realistik, dan berwawasan (forward-looking) kini menjadi tunjang utama untuk memacu reformasi dan keutuhan negara", kata beliau.
2. Dunia tidak lagi didominasi kuasa tunggal
Tambahnya, era dunia 'unipolar' yang dikuasai oleh Amerika Syarikat (AS) dilihat semakin pudar.
Gagasan seperti BRICS (Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan) dan kebangkitan ekonomi bukan Barat menunjukkan kuasa kini lebih tersebar.
3. Perjanjian Perdagangan Bebas: Peluang atau perang strategik?
Perjanjian seperti perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) melibatkan lebih 30 peratus Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) global dan menyatukan banyak kuasa ekonomi utama tanpa penglibatan Amerika Syarikat.
Ini menimbulkan kebimbangan kepada AS yang kini semakin hilang dominasi dalam kerangka perdagangan global.
4. Malaysia ada kuasa rundingan – Jangan undur
Ketika AS dan China tidak sehaluan dalam banyak aspek, Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk berunding secara bebas.
"Dengan kedudukan sebagai sebahagian dari rantai bekalan global, Malaysia bukan lagi pemain kecil, tetapi kuasa penentu dalam rundingan," kata beliau.
5. Trump kembali? Kesan akan bergantung pada China
Jika dasar perdagangan Trump diteruskan atau diperketat, impaknya kepada Malaysia akan banyak bergantung kepada reaksi China.
Sekiranya China gagal menembusi pasaran AS, potensi pembuangan lambakan (dumping) barang ke Asia termasuk Malaysia boleh berlaku memberi tekanan kepada industri tempatan.
6. Bukan semua kesan negatif – Ada potensi tersembunyi
Kajian menunjukkan bahawa Malaysia mungkin mendapat sedikit lonjakan KDNK dari aras unjuran asal (baseline) kerana kesan penyesuaian pasaran.
Dalam kekalutan global, akan wujud ruang untuk kita mengisi kekosongan perdagangan yang ditinggalkan negara lain.
7. Ekonomi dunia akan sesuaikan diri – Kita perlu bersedia
Beliau berkata tidak perlu panik dengan setiap dasar luar negara besar.
"Sistem ekonomi global akan menyesuaikan diri
"Walaupun ada kesan jangka pendek, Malaysia mempunyai potensi untuk bangkit dan menyesuaikan strategi dengan cermat demi masa depan ekonomi rakyat", kata Prof Jamal.
Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Isnin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami