[TERKINI] Penamaan Calon PRN Sabah Bermula – Siapa Bakal Bertanding? Ikuti Perkembangan Terkini di Sini!
MALAYSIA

70 peratus projek naik taraf kemudahan kesihatan di Sabah selesai - Dzulkefly

Asyraf Malik 15/11/2025 | 10:50 MYT
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kira-kira 70 peratus pembangunan infrastruktur kesihatan di Sabah sudah siap. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh kemudahan kesihatan di Sabah melalui pelaksanaan pelbagai projek naik taraf serta pembinaan semula klinik desa dan klinik kesihatan.


Ringkasan AI
  • Kementerian Kesihatan Malaysia memperkukuh kemudahan kesihatan di Sabah melalui pelbagai projek naik taraf serta pembinaan semula klinik desa dan klinik kesihatan.
  • Peruntukan RM43.98 juta diluluskan pada tahun 2025 bagi projek pembaikan dan naik taraf 62 klinik di Sabah, menunjukkan peningkatan dari tahun sebelumnya.
  • Prototaip klinik desa baharu yang selesa dan lengkap akan menggantikan klinik lama yang dibina daripada kayu di Sabah, menelan kos sehingga RM1 juta setiap satu.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kira-kira 70 peratus pembangunan infrastruktur berkenaan sudah siap manakala baki sekitar 30 peratus sedang giat dilaksanakan menjelang tahun 2026.

“Pada tahun 2025, peruntukan RM43.98 juta diluluskan bagi projek pembaikan dan naik taraf sejumlah 62 klinik di Sabah, lebih tinggi berbanding tahun 2024 iaitu RM21.5 juta untuk 65 klinik.

“Sabah ini antara negeri saya kerap turun padang, saya ambil maklum tentang prasarana kesihatan daif serta dibina daripada kayu yang digembar-gemburkan. Penambahbaikan kemudahan kesihatan di Sabah sudah dimulakan sejak tahun 2018.

“Semua klinik daif itu akan digantikan dengan prototaip klinik desa baharu yang sangat selesa dan lengkap, ada antaranya menelan kos RM1 juta,” ujar Dzulkefly ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Jelajah Wira Madani @25 Tahun Hospital Putrajaya, di sini pada Sabtu.

Dalam program itu, beberapa anugerah disampaikan antaranya Penghargaan Hospital Putrajaya As One of The World’s Best Hospitals 2025 menurut Newsweek dan Statista.

Selain itu, penyampaian Anugerah Tokoh Wira MADANI Hospital Putrajaya turut diadakan dan sebanyak 73 jabatan dan unit di hospital tersebut menerima sijil penghargaan atas khidmat bakti mereka.







#KKM #kemudahan kesihatan di Sabah #Dr Dzulkefly #projek naik taraf