Skip to main content

Malaysia

71,101 rumah percutian beroperasi di Malaysia pada 2025, jana hasil RM2.2 bilion - DOSM

61741077719_TBUzir.jpg
Mohd Uzir (foto) berkata pertumbuhan berterusan industri itu mencerminkan peningkatan permintaan terhadap penginapan alternatif serta peranannya yang semakin signifikan dalam menyokong aktiviti ekonomi berkaitan pelancongan dan sektor perkhidmatan secara keseluruhan. -Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Sebanyak 71,101 rumah percutian beroperasi di seluruh negara pada  2025 dengan anggaran hasil RM2.2 bilion, menurut Buletin Statistik Rumah Percutian: Banci Ekonomi 2026 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan berterusan industri itu mencerminkan peningkatan permintaan terhadap penginapan alternatif serta peranannya yang semakin signifikan dalam menyokong aktiviti ekonomi berkaitan pelancongan dan sektor perkhidmatan secara keseluruhan.

“Industri rumah percutian terus menjana kesan limpahan positif kepada ekonomi melalui peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, perdagangan runcit serta aktiviti rekreasi.

“Selain itu, industri ini turut mewujudkan peluang pendapatan kepada komuniti setempat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana selain menyumbang kepada pembangunan wilayah yang lebih seimbang serta pertumbuhan pelancongan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata Selangor merekodkan bilangan rumah percutian tertinggi, iaitu 19,095 unit yang mewakili lebih satu perempat daripada jumlah keseluruhan negara diikuti Kuala Lumpur (8,207 unit) dan Johor (7,274 unit).

Beliau berkata tumpuan rumah percutian di negeri tersebut mencerminkan permintaan yang kukuh terhadap aktiviti pelancongan yang disokong oleh jaringan pengangkutan komprehensif, kegiatan ekonomi dinamik serta lokasi berdekatan dengan destinasi pelancongan utama. 

Selain itu, Mohd Uzir berkata Buletin Statistik Rumah Percutian: Banci Ekonomi 2026 ialah penerbitan statistik rasmi pertama mengenai rumah percutian mengikut negeri dan daerah di Malaysia.

“Buletin ini satu pencapaian penting dalam memperkukuh statistik rasmi pelancongan Malaysia dengan menyediakan buat pertama kalinya, data menyeluruh mengenai taburan geografi industri rumah percutian.

“Statistik ini menjadi asas bukti yang penting untuk menyokong penggubalan dasar, perancangan pelancongan dan pembangunan industri yang mampan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement