Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

75 pendatang asing ditahan, tujuh masuk guna laluan haram di Sungai Golok - JIM

Bernama 28/10/2025 | 12:30 MYT
Tujuh daripada 75 pendatang asing tanpa izin yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan semalam, mengaku memasuki negara ini melalui laluan haram di Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand.
KOTA BHARU: Tujuh daripada 75 pendatang asing tanpa izin yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan semalam, mengaku memasuki negara ini melalui laluan haram di Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand.

Pengarahnya Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata kesemua lelaki yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 23 hingga 50 tahun, terdiri daripada lima warga Bangladesh dan masing-masing seorang warga India dan Myanmar.

"Sebaik masuk ke negara ini melalui pangkalan haram, mereka diangkut oleh transpoter dan dibawa ke stesen bas di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu dipercayai untuk ke negeri di pantai barat Semenanjung," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Yusoff Khan berkata kesemua warga asing itu ditahan menerusi operasi bersepadu di sekitar tapak pembinaan di Pasir Mas dan Kota Bharu bermula 9 pagi semalam, hasil risikan pegawai penguat kuasa serta maklumat awam.

Beliau berkata daripada 75 warga asing yang ditahan dalam operasi itu, 67 adalah lelaki warga Bangladesh, empat lelaki dan dua wanita warga Indonesia dan masing-masing seorang lelaki warga India dan Myanmar.

"Kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

-- BERNAMA



#pendatang asing ditahan #Sungai Golok #sempadan Malaysia-Thailand #JIM Kelantan