Sebanyak 75 peratus penyumbang kepada penularan HIV adalah daripada aktiviti seksual.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit HIV/STI/Hepatitis C Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr Sharifah Mahani Syed Mahar Affandi berkata, ini diikuti dengan aktiviti perkongsian jarum suntikan oleh penagih dadah sebanyak 20 peratus, manakala lain-lain seperti transmisi dari ibu ke bayi dalam kandungan atau menerusi susu, sebanyak lima peratus.

Menurutnya, trend tersebut berubah sejak 2014 yang lalu di mana tahun-tahun sebelumnya, perkongsian jarum suntikan menyumbang kepada 90 peratus dalam punca penularan, diikuti aktiviti seksual dan lain-lain.

"Para penagih dadah dah ada kesedaran untuk tidak berkongsi jarum suntikan, tapi yang sedihnya aktiviti seksual ini pula yang meningkat.

"Saya minta maaf jika perlu bercakap soal ini tapi kita sebagai masyarakat perlu ambil tahu dan cakna mengenainya. Tiga cara utama yang menyebabkan HIV berjangkit adalah seksual, perkongsian jarum dan transmisi ibu ke bayi semasa hamil atau menerusi susu ibu.

"Seksual pula bukan bermakna daripada lelaki dan perempuan sahaja tetapi juga daripada lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan dan mereka yang mengamalkan hubungan seks dengan kedua-duanya sekali," katanya pada sesi Sinar Live di Facebook Sinar Harian Edisi Pahang.

Beliau menjelaskan enam golongan yang berisiko dijangkiti HIV adalah kumpulan manusia yang mengamalkan aktiviti seks bebas, homoseksual; penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan; kumpulan pekerja seks; kumpulan mak nyah atau pelacur; pelanggan kepada pelacur serta remaja berusia 13 hingga 30 tahun.

Dalam pada itu beliau turut menasihati ibu bapa untuk memantau aktiviti dan pergerakan sosial remaja masa kini kerana dunia kini terdedah dengan pengaruh luar serta aplikasi sosial dengan mudah.

Mengulas mengenai pencapaian Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKNP dalam mengejar matlamat Cities To Zero HIV, beliau berkata Oktober lalu, Malaysia mendapat pengiktirafan dan pensijilan sebagai negara ke 12 di dunia dan pertama di Asia Pasifik, kerana berjaya menghapuskan transmisi HIV daripada ibu ke bayi.

"Pada 2014 Pahang sudah menetapkan mana-mana pasangan Islam yang ingin berkahwin perlu menjalani ujian saringan HIV di mana saya kira ia menyumbang banyak kebaikan ke arah mengekang penularan jangkitan HIV.

"Pasangan HIV ada yang berkahwin dan mempunyai anak. Kita tidak ada masalah dan halangan untuk mereka yang mengetahui mengenai penyakit itu untuk meneruskan perkahwinan. Malah keputusan ujian itu menjadi kerahsiaan JKNP. Dengan adanya syarat menjalani saringan tersebut, JKNP akan memberikan nasihat dan panduan perkahwinan yang selamat kepada pasangan HIV.

"Mereka juga mendapat maklumat yang tepat dalam menjalani kehidupan berumah tangga dan hubungan suami isteri yang selamat, mendapat bekalan ubatan mencukupi sekali gus mengelakkan jangkitan terhadap bayi dalam kandungan serta anak yang lahir," katanya.