MALAYSIA

76,002 kandungan palsu di TikTok diturunkan setakat Ogos

Pia Ernadya 04/09/2025 | 08:51 MYT
Fahmi menegaskan bahawa tindakan penurunan dibuat oleh pihak platform berdasarkan garis panduan komuniti mereka. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sebanyak 76,002 kandungan melibatkan berita dan maklumat palsu telah diturunkan dari platform TikTok dari 1 Januari hingga 31 Ogos 2025, menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Manakala, sebanyak 10,730 kandungan lain tidak diturunkan oleh pihak berkuasa.

“Ini bermaksud kadar pematuhan penurunan kandungan adalah sebanyak 86 peratus…(Namun) penting untuk saya tegaskan bahawa tindakan penurunan dibuat oleh pihak platform berdasarkan garis panduan komuniti mereka.

“Walaupun MCMC meminta agar kandungan tertentu diturunkan, tetapi jika pihak platform berpandangan kandungan itu tidak melanggar undang-undang atau garis panduan, maka ia tidak akan diturunkan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman pada Khamis.

Terdahulu, Fahmi memaklumkan bahawa pihak pengurusan tertinggi TikTok telah dipanggil ke Bukit Aman berikutan kelewatan mereka dalam memberi kerjasama kepada PDRM dalam isu penyebaran berita palsu di platform berkenaan.

Dalam pertemuan lebih sejam itu, turut dibangkitkan adalah isu penggunaan TikTok oleh kanak-kanak bawah umur, khususnya di bawah usia 13 tahun.

“Dalam banyak lawatan saya ke sekolah sekolah-sekolah rendah, saya dapati anak-anak semuda seawal Tahun 1 memiliki akaun TikTok.

“Walaupun mereka( TikTok) mengatakan anak-anak bawah 13 tahun tidak dibenarkan, namun realitinya ia berlaku.

“Maka, ini antara beberapa perkara yang telah disampaikan kepada pihak TikTok bahawa perlu ada satu mekanisma untuk membuat pengesahan umur,” jelasnya.

Katanya lagi, cadangan mekanisme ini akan dirujuk kepada amalan terbaik di negara seperti Singapura dan Australia dan akan diperhalusi bersama pihaknya, Tiktok serta PDRM.


#TikTok #kandungan palsu #Garis Panduan Komuniti #Fahmi Fadzil #MCMC #anak bawah umur