Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

7,681 kes buli di sekolah bawah KPM direkod sepanjang 2024 - Fadhlina

Khalis Khadir 27/08/2025 | 07:15 MYT
Fadhlina Sidek berkata, angka itu berdasarkan data sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) dengan 1,992 kes berlaku di sekolah rendah manakala 5,689 kes di sekolah menengah. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 7,681 kes salah laku buli direkodkan di sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) sepanjang tahun lalu, meningkat berbanding 6,528 kes pada 2023.


Ringkasan AI
  • Kes buli meningkat kepada 7,681 pada tahun lalu berbanding 6,528 kes pada 2023, dengan majoriti berlaku di sekolah menengah.
  • KPM tegaskan pendirian tegas terhadap gejala buli dan telah memperkukuh mekanisme pencegahan melalui garis panduan, SOP keselamatan, dan portal aduan anonim.
  • Ibu bapa diseru beri kerjasama dalam mendidik dan memantau anak-anak agar tidak terlibat dalam salah laku buli di sekolah.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, angka itu berdasarkan data sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) dengan 1,992 kes berlaku di sekolah rendah manakala 5,689 kes di sekolah menengah.

Menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, Fadhlina berkata, KPM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku buli yang berlaku di institusi pendidikan.

“Usaha membanteras gejala buli adalah satu usaha berpanjangan dan berterusan KPM serta memerlukan komitmen semua pihak,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di laman berkenaan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau mengenai jumlah kes buli yang dilaporkan pada 2024 serta langkah pencegahan isu terbabit.

Tegas Fadhlina, KPM telah memperkukuh mekanisme sedia ada melalui beberapa surat pekeliling termasuk Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli yang dikeluarkan pada November 2023.

Antara lain ialah mengemas kini Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan serta disiplin sekolah serta meningkatkan kecekapan portal aduan buli dengan fungsi aduan anonim bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.

Rentetan itu, Fadhlina berkata, KPM berharap ibu bapa dapat meningkatkan kerjasama dan sokongan dalam mendidik serta mengawasi anak-anak agar mereka tidak terjebak dalam salah laku buli.




#Fadhlina Sidek #KPM #kes buli #Parlimen #Kementerian Pendidikan #Dewan Rakyat