8 bekas pekerja stesen minyak mengaku tidak bersalah salah guna kad inden polis

Nur Fazlizai Ali
September 25, 2022 09:09 MYT
Kesemua tertuduh yang bekerja sebagai pembantu pam didakwa secara tidak jujur menggunakan kad inden milik PDRM. - Foto BERNAMA
KEMAMAN: Lapan bekas pekerja sebuah stesen minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini atas 45 pertuduhan menyalahgunakan kad inden petrol milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tertuduh, Mohamad Amirul Izzat Mohamad; Md Nazrul Khusairi Mohamad Ros; Muhamad Ikhwan Ruslan; Muhammad Aidil Mohd Kamal; Muhamad Khairi Fakhri Abd Karim; Khairul Fadhli Bahar; Abdullah Hassani Basri dan Iskandar Zulkarnain Adenan yang berusia antara 23 hingga 32 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Berdasarkan pertuduhan kesemua tertuduh yang bekerja sebagai pembantu pam dalam mencapai niat secara curang atau tidak jujur menggunakan kad inden milik PDRM.
Tertuduh didakwa telah menggunakan kad tersebut antara nilai RM50 hingga RM830.05.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di daerah Kemaman sekitar Oktober hingga Disember 2017.
Mahkamah | Lapan bekas pekerja stesen minyak didakwa salah guna kad PDRM
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin antara RM5,500 hingga RM30,500 setiap seorang dan menetapkan 7 November depan bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Difahamkan tertuduh juga bakal berdepan dengan 138 lagi pertuduhan atas kesalahan yang sama.
#seleweng minyak #kad inden petrol PDRM #pekerja pam minyak #Kemaman