8 lokaliti di Sarawak dan Sabah dikenakan PKPD bermula Khamis

Astro Awani
Julai 20, 2021 12:36 MYT
Turut dikenakan PKPD adalah Kampung Guruh-Guruh di Sipitang dan Kampung Air serta Kampung Bokara di Sandakan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Khamis ini di lapan lokaliti di Sarawak dan Sabah bagi mengawal penularan COVID-19 di kawasan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata lapan lokaliti terbabit termasuk Kampung Bintawa Hilir dan Kampung Sungai Tapang di Kuching, Sarawak.
Selain itu, di Sabah, lokaliti dikenakan PKPD ialah Kilang Papan Lusera Telipok; Kampung Mogiding Malawa dan Kuarters Pekerja Progressif Perwira; Kampung Sinulihan dan Kondominium University Utama Fasa 2 di Kota Kinabalu.
Turut dikenakan PKPD adalah Kampung Guruh-Guruh di Sipitang dan Kampung Air serta Kampung Bokara di Sandakan.
Semua lapan PKPD itu dijadualkan berakhir pada 8 Ogos depan, manakala prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD berkenaan sama seperti diumumkan sebelum ini.
Selain itu, katanya pelaksanaan PKPD di lima kampung di Sabah akan dilanjutkan selama 14 hari, bermula 22 Julai.
Lokaliti terbabit ialah Kampung Pondo; Kampung Kasuapan; Kampung Lok Urai; Kampung Pulau Gaya di perkampungan Pulau Gaya di Kota Kinabalu, selain Kampung Sri Menanti di Tawau.
Selain itu, PKPD di Kampung Kerpal dan Kampung Pinang di Rompin, Pahang, tamat esok, seperti dijadualkan.
#PKPD #ismail sabri yaakob #Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan #COVID-19 #Timbalan Perdana Menteri