NATIONAL
80 kompaun dikeluarkan kepada majikan tidak berdaftar di Kelantan tahun lepas
Nora berkata PERKESO Kelantan yakin mampu mencapai sasaran 10,000 pekerja sendiri di negeri ini untuk mencarum di bawah SPS Padanan Caruman tahun ini. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan mengeluarkan sebanyak 80 kompaun bernilai RM83,500 kepada majikan yang gagal mendaftar, pada tahun lepas.
Pengarah PERKESO Kelantan Nora Yaacob berkata daripada jumlah itu, sebanyak 53 kompaun bernilai RM60,000 dikeluarkan kepada majikan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Seksyen 4 Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 manakala 27 lagi kompaun bernilai RM23,500 dikenakan mengikut Seksyen 5 akta sama.
"Di Kelantan, hampir 8,000 majikan kini aktif mencarum, namun kami percaya masih ramai lagi majikan, terutama yang baru menceburi bidang perniagaan atau perusahaan kecil, seperti kontraktor keselamatan dan pembersihan, belum mendaftar dengan PERKESO.
"Justeru, kami menggesa majikan agar segera mendaftar bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku selain mengambil peluang sempena Bulan Pemutihan (April) untuk melaksanakan tanggungjawab kepada pekerja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri PERKESO Kelantan, di sini hari ini.
Beliau berkata sepanjang tempoh Bulan Pemutihan ini, majikan yang mendaftar akan dikecualikan daripada tindakan kompaun, pendakwaan serta faedah caruman lewat bayar.
"Namun, sekiranya mereka masih gagal berbuat demikian selepas tempoh ini, pihak kami tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan dan tiada lagi pengecualian daripada tindakan penguatkuasaan," katanya.
Sementara itu, Nora berkata PERKESO Kelantan yakin mampu mencapai sasaran 10,000 pekerja sendiri di negeri ini untuk mencarum di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Padanan Caruman tahun ini.
"Kita tahu ramai rakyat Kelantan bekerja sendiri dan saya harap mereka yang belum menyertai SPS tahun ini akan merebut peluang yang disediakan. Mereka hanya perlu mencarum sebanyak RM70 setahun manakala RM162.80 lagi akan ditanggung kerajaan," katanya.
-- BERNAMA