JASIN: Perkelahan 80 pengunjung Air Terjun Asahan, di sini bertukar cemas selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di kawasan berkenaan, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Mohd Rizuan Suliman berkata, 60 mangsa bagaimanapun sudah berjaya dibawa turun dengan selamat manakala baki 20 pengunjung meneruskan perkelahan seperti biasa selepas keadaan kembali reda.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.01 petang dan sepasukan empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan benar sekumpulan mangsa telah terkandas berpunca akibat kejadian kepala air.

“Setakat ini tiada mangsa yang mengalami kecederaan dan 20 pengunjung masih berada di kawasan perkelahan kerana ingin meneruskan aktiviti perkhemahan.

“(Namun) pihak polis dan bomba akan menasihati semua pengunjung untuk turun ke bawah meskipun keadaan cuaca sudah mulai baik berbanding pada sebelah tengahari tadi,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut beliau berkata, tiada mangsa yang terperangkap dan hanya sebuah kereta dimasuki air dalam kejadian itu. 

“Kita masih menjalankan pemantauan di lokasi dan memotong pokok-pokok yang telah tumbang disebabkan arus deras kepala air,” katanya lagi.