Kira-kira 80 peratus pengikut kumpulan militan Daish, yang dikenal pasti di negara ini dari 2013 hingga 2015, terdiri daripada golongan berumur bawah 40 tahun.

Pensyarah Pengajian Islam dan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Ahmad El Muhammady berkata golongan itu merupakan pengguna media sosial yang mudah terpengaruh dengan sebaran propaganda Daish.

"Ia adalah trend di mana golongan belia terdedah kepada sumber informasi yang banyak melalui rangkaian media sosial dan mereka tidak tahu membezakan mana yang baik dan buruk.

"Selain itu, pengaruh rakan sebaya turut memainkan peranan penting apabila seorang kawan yang tidak tahu apa-apa membantu kawan mereka yang terlibat dengan Daish. Mereka tidak tahu yang mereka dipergunakan untuk membantu membeli dan mencipta bahan letupan bagi meletupkan negara sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk 'Malaysia in Facing The Triangle of Conflicts in Southeast Asia' sempena Ceramah Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) di Wisma Perwira ATM di sini, hari ini.

Ahmad berkata kebanyakan golongan belia merupakan pengikut manakala golongan tua atau 'otai' menjadi ketua di peringkat tertinggi kumpulan militan itu.

"Golongan belia yang terlibat ini tidak mempunyai pembimbing yang boleh membimbing mereka untuk menjelaskan hal mana yang baik, mana yang buruk. Segala maklumat yang diterima mereka tidak ditapis dengan sebaik-baiknya," kata beliau.

Menurutnya belia yang terlibat dengan Daish merupakan golongan yang terpinggir daripada masyarakat, dan ini memberi peluang kepada kumpulan militan itu untuk merekrut mereka. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada Ahad berkata polis menahan 257 individu kerana terbabit dengan kegiatan militan Daish di negara ini sejak April 2013 sehingga 30 Okt lepas dengan sebahagian besar daripada mereka sudah dijatuhi hukuman penjara. - Bernama