801 anggota polis, RELA digerakkan ke kawasan banjir

Bernama
Disember 27, 2023 12:13 MYT
Anggota RELA membantu memasang khemah untuk mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Manek Urai. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Sejumlah 647 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 154 petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah diatur gerak ke kawasan banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan aset melibatkan 35 bot, 29 lori dan 56 kenderaan pacuan empat roda turut digerakkan ke kawasan terjejas banjir.
"Kekuatan anggota dan aset akan ditambah berdasarkan situasi bencana," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menjelaskan gerak kerja PDRM turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
KDN menasihati orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamatkan mangsa banjir.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM melalui talian 03-2266 3333/03-2266 3444/03-2266 3451 atau talian MERS 999 bagi bantuan kecemasan.
-- BERNAMA
#PDRM #RELA #banjir kelantan #Kementerian Dalam Negeri