Warga Singapura G. Jaishanker telah dinobatkan sebagai pemenang pertandingan Subaru Palm Challenge terbaharu, apabila bertahan selama 82 jam dan 16 minit, mengatasi Analiza binti Mokhtar yang mendapat tempat kedua. Masa yang dicatatkan oleh peserta 50 tahun ini juga mengatasi rekod sebelumnya 81 jam 32 minit.

Dengan itu, G. Jaishanker mendapat hadiah utama sebuah Subaru Forester 2.0i Premium yang berharga S$85,000 (lebih kurang RM220,000, namun tanpa sijil COE yang diperlukan untuk pendaftaran SUV ini di Singapura).

Seperti biasa, pertandingan ini mendapat perhatian dengan pelbagai cabaran untuk peserta tempuhi sepanjang ia berlangsung termasuk cuaca panas terik dan hujan lebat di lokasi pertandingan iaitu Plaza Ngee Ann City Civic, Singapura. Apa yang mereka perlu buat adalah memastikan tapak tangan mereka sentiasa menyentuh bahagian kereta Subaru yang telah ditentukan; individu yang bertahan paling lama adalah pemenang utama.

Hadiah Subaru Forester 2.0i Premium yang dimenangi G. Jaishanker disampaikan oleh Glenn Tan, pengarah eksekutif Tan Chong International Ltd, dan Florence Lian, pengarah urusan Mediacorp.

Hadiah turut disampaikan kepada Tan Hong Sheng (gambar atas) daripada Malaysia sebagai peserta terbaik daripada rantau Asia. Peserta berumur 34 tahun ini memenangi hadiah wang tunai S$5,000 setelah bertahan selema 81 jam dan 15 minit.

Kumpulan peserta daripada Thailand pula mendapat wang tunai S$10,000 sebagai pemenang ‘pasukan negara’ setelah 10 peserta daripada negara ini bersama-sama mencatat jumlah masa tertinggi, iaitu 488 jam 13 minit.