Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

82,076 kandungan tidak bermoral di media sosial diturunkan sejak 2022

Bernama 14/08/2025 | 06:00 MYT
Tindakan penurunan kandungan dilakukan melalui operasi seperti Op Pedo dan Op Noda, serta melibatkan kerjasama dengan penyedia platform dan penilaian berdasarkan garis panduan komuniti serta undang-undang tempatan. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sejumlah 82,076 kandungan tidak bermoral di media sosial diturunkan oleh penyedia perkhidmatan media sosial atas permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dari 1 Jan 2022 hingga 1 Julai 2025.


Ringkasan AI
  • Sebanyak 82,076 kandungan tidak bermoral diturunkan dari media sosial atas permohonan MCMC antara Januari 2022 hingga Julai 2025, termasuk kandungan berkaitan penganiayaan seksual kanak-kanak yang dikesan dalam kumpulan Facebook tertentu.
  • Tindakan penurunan kandungan dilakukan melalui operasi seperti Op Pedo dan Op Noda, serta melibatkan kerjasama dengan penyedia platform dan penilaian berdasarkan garis panduan komuniti serta undang-undang tempatan.
  • Sebanyak 37,845 kandungan palsu dan 7,846 kandungan berkaitan sentimen 3R turut diturunkan, dengan penguatkuasaan dilakukan bersama PDRM di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tanpa mengira latar belakang politik atau kepercayaan individu.


Kementerian Komunikasi menerusi jawapan bertulis kepada soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang disiarkan di laman web Parlimen memaklumkan kandungan itu dikenal pasti melanggar peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta undang-undang sedia ada yang lain.

Ini termasuk tindakan sekatan terhadap "Grup Budak-Budak Sekolah Rendah" (kumpulan di media sosial Facebook) yang dikesan mengandungi unsur melanggar Seksyen 233 Akta 588 termasuk bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Menjawap soalan Muhammad Ismi yang ingin tahu mengenai kewujudan aplikasi dalam media sosial yang menawarkan perkhidmatan tidak bermoral kepada pengguna, menurut kementerian tindakan itu sebahagian daripada operasi bersama menerusi Op Pedo dan Op Noda bagi membanteras penyebaran kandungan tidak bermoral di platform digital dan media sosial.

Menurut kementerian itu, tindakan menurunkan kandungan itu juga tertakluk kepada penilaian dan pertimbangan penyedia perkhidmatan media sosial berdasarkan garis panduan komuniti yang telah ditetapkan oleh mereka dan aplikasi undang-undang tempatan yang relevan.

"Selain daripada (tapisan) media sosial, kerajaan melalui MCMC juga melaksanakan tapisan serta sekatan aplikasi yang menawarkan perkhidmatan tidak bermoral di platform seperti Google Play dan Apple Store," menurut jawapan itu.

Bagaimanapun, kawalan ke atas aplikasi yang dipaparkan di platform itu masih tertakluk kepada dasar dan peraturan ditetapkan penyedia platform berkenaan memandangkan platform terbabit dimiliki syarikat-syarikat asing yang beroperasi di luar negara.

Sebanyak 37,845 kandungan palsu dan 7,846 kandungan berkaitan sentimen 3R (kaum, agama dan institusi diraja) diturunkan penyedia platform media sosial dari 1 Jan 2022 hingga 1 Julai 2025 atas permohonan MCMC kerana melanggar Seksyen 233 Akta 588.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang meminta penjelasan mengenai langkah mengekang penyebaran maklumat palsu dan status penguatkuasaan terhadap akaun troll politik di Dewan Rakyat hari ini, menurut kementerian tindakan itu melibatkan penyebaran maklumat palsu termasuk manipulasi oleh akaun troll politik yang cuba menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

"Setiap tindakan penurunan dilaksanakan berdasarkan perundangan sedia ada, tanpa mengambil kira latar belakang politik atau kepercayaan individu bagi memastikan kebebasan bersuara tidak disalahgunakan. Penilaian akhir juga tertakluk kepada penyedia platform mengikut garis panduan komuniti mereka," menurut kementerian itu.

Menurut Kementerian Komunikasi, MCMC bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan Akta 588 serta undang-undang berkaitan.

"Tindakan boleh diambil ke atas mana-mana individu di bawah Seksyen 233 Akta 588 yang menyalahgunakan perkhidmatan aplikasi, termasuk media sosial bagi membuat dan menyebarkan kandungan palsu atau yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk, antara lain menyakitkan hati, menganiaya atau mengganggu orang lain," menurut jawapan itu.

-- BERNAMA




#MCMC #kandungan tidak bermoral #media sosial #Op Pedo