LABUAN: Sebanyak 85 ekor anak penyu karah yang merupakan spesies terancam dilepaskan ke laut di sini malam tadi.

Berlangsung di Pusat Konservasi Penyu Pulau Rusukan Besar, acara istimewa itu menyaksikan anak-anak penyu tersebut 'diiringi' 80 sukarelawan terdiri daripada pelajar Sekolah Antarabangsa Labuan, Sekolah Menengah St Anthony dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun.

Projek kerjasama antara Kelab Lions Mandarin Labuan, Jabatan Perikanan Labuan dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) itu merupakan inisiatif pemuliharaan penyu karah di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara alam sekitar.

Acara istimewa itu menyaksikan anak-anak penyu tersebut 'diiringi' 80 sukarelawan. - Foto Bernama



Presiden Kelab Lions Mandarin Labuan Chia Sia Theng berkata acara itu selari dengan kempen global sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang memberi tumpuan kepada memerangi pencemaran plastik dan pada masa sama memperjuangkan kesejahteraan hidupan laut.

"Pelepasan ini melambangkan realiti sedih mengenai daya tahan dan kelemahan populasi penyu karah," katanya.

Acara itu juga katanya menekankan kepentingan aktiviti pembersihan pantai sebagai komponen pendidikan dan penglibatan dalam isu alam sekitar, bagi memastikan laut bebas daripada sampah atau bahan berbahaya.

Pelepasan anak penyu karah itu merupakan contoh potensi yang dapat dicapai menerusi tindakan bersama dalam menjaga spesies terancam dan lautan.- Foto Bernama


Chia berkata pelepasan anak penyu karah itu merupakan contoh potensi yang dapat dicapai menerusi tindakan bersama dalam menjaga spesies terancam dan lautan.

"Ia menggariskan tanggungjawab yang dikongsi bersama dalam memelihara kekayaan biodiversiti ekosistem marin kita," katanya.

Para pelajar turut diberi taklimat mengenai usaha pemuliharaan penyu yang dijalankan di Pulau Rusukan Besar oleh Ketua Pemuliharaan Penyu dan Marin, Jabatan Perikanan Labuan Ryanto Saifuddin.

-- BERNAMA