85 pakar periksa kualiti udara secara serentak di sekolah Pasir Gudang

Astro Awani
Julai 1, 2019 03:42 MYT
Bee Yin memberitahu langkah itu adalah untuk memastikan cerapan tahap kualiti udara dilakukan dengan lebih tepat dan terperinci. -Gambar fail
Sekumpulan 85 pakar dilengkapi alat pengesan gas dikerah melakukan bacaan kualiti udara di kawasan sekolah berisiko pagi tadi secara serentak.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memberitahu langkah itu adalah untuk memastikan cerapan tahap kualiti udara dilakukan dengan lebih tepat dan terperinci.
Menurut Bee Yin, peralatan Gasmate akan dibawa untuk memantau bacaan nilai Volatile Organic Compound (VOC) benda asing di 85 lokasi pemantauan termasuk mengesan kemungkinan kehadiran gas kimia secara khusus.
Dalam pada itu, beliau menyatakan hasrat mengadakan pertemuan tertutup dengan pihak industri di Pasir Gudang petang ini bagi berbincang mengenai masalah pencemaran udara di kawasan itu.
Bee Yin berkata sebanyak tujuh sampel air kencing dan darah daripada mangsa terjejas insiden pencemaran udara sedang dianalisis Jabatan Kimia secara terperinci dan keputusannya akan dimaklumkan kelak.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata seramai 101 orang dihantar ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Masai untuk rawatan saringan.
Daripada jumlah itu, 10 orang atau 4 peratus yang mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk pemeriksaan lanjut.
"Kita akan pantau selepas ini daripada segi psikologi murid sebab kita lihat selepas diberi rawatan, mereka boleh bermain dan ketawa. Kita nak lihat lebih jauh apa sebenarnya berlaku," kata Mohd Khuzzan.
Terdahulu, sejumlah 111 sekolah di sini diarah tutup lima hari sejak 25 Jun lalu sebelum dibenar dibuka semula semalam.
Arahan sama turut dikenakan terhadap tiga institusi pengajian tinggi (IPT), 14 sekolah swasta dan antarabangsa, serta 347 tadika swasta.
#cerapan tahap kualiti udara #Gasmate #Hospital Sultan Ismail #Klinik Kesihatan Pasir Gudang #Mohd Khuzzan Abu Bakar #pencemaran udara #rawatan saringan #VOC #Volatile Organic Compound #Yeo Bee Yin