86 mangsa banjir di Perak dipindahkan ke PPS

Bernama
November 11, 2020 21:24 MYT
Tiga kampung di Ijok, Batu Kurau iaitu Kampung Pantai Besar, Kampung Sg Ara dan Kampung Jemerang Star, dilanda banjir kilat pada Rabu. - Foto JBPM Perak
IPOH: Seramai 86 mangsa banjir di Perak dipindahkan ke lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat banjir kilat yang melanda beberapa kawasan selepas hujan lebat petang semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata 10 mangsa daripada empat keluarga di Batu Kurau ditempatkan di Dewan Orang Ramai Pantai Besar, Dewan Kampung Sungai Ara dan Sekolah Kebangsaan Pantai Besar Air yang dibuka mulai 10 malam.
"Bagaimanapun 10 mangsa ini dijangka pulang ke rumah masing-masing tengah malam ini kerana banjir setinggi dua meter mulai surut," katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Selain itu, katanya kejadian banjir turut dilaporkan berlaku lewat petang semalam di Taiping melibatkan Kampung Air Kuning dan Kampung Changkat Baru Matang.
Beliau berkata 44 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim Al Barakah manakala 32 lagi daripada lima keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Air Kuning.
Pihak bomba katanya masih menjalankan kerja-kerja menyelamat dan melakukan pemantauan berterusan di lokasi berkenaan bagi memastikan keselamatan semua mangsa.
-- BERNAMA
#banjir #Taiping #bomba #Perak #Batu Kurau #Air Kuning #hujan #matang #PPS #pusat pemindahan #kerja menyelamat